ZAKARIA (tiga dari kanan) menggaul yee sang bersama pimpinan MACMA pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran LZNK di Dewan Ukir Mall, di sini hari ini. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
ZAKARIA (tiga dari kanan) menggaul yee sang bersama pimpinan MACMA pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran LZNK di Dewan Ukir Mall, di sini hari ini. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Noorazura Abdul Rahman


GADIS berketurunan Tionghua terpaksa menyembunyikan identiti sebagai mualaf bagi mengelak pertelingkahan dengan keluarga bapanya selepas diberi amaran tidak mengikut jejak ibunya memeluk Islam.

Nur Shaherah Abdullah, 20, berkata setiap kali keluar berjumpa dengan keluarga bapanya, dia hanya berpakaian biasa termasuk tidak bertudung, namun tetap menjaga akidahnya sebagai umat Islam.

Katanya, dia yang memeluk Islam sejak tahun lalu tidak tahu sampai bila akan berada dalam keadaan begitu, namun berharap bapanya terbuka hati untuk menerima dirinya sebagai mualaf.

“Saya tak mahu putus hubungan dengan bapa selepas dia berpisah dengan ibu, beberapa tahun lalu dan saya bersama kakak memilih untuk tinggal dengan ibu.

“Kami adik beradik sentiasa mengambil berat tentang bapa, tapi kami tak faham kenapa dia tak izinkan kami peluk Islam.

“Bagaimanapun, saya akan sentiasa tunjukkan akhlak baik kepada keluarga bapa dan berharap mereka terbuka hati suatu hari nanti,” katanya.

Nur Shaherah berkata demikian ketika ditemui pada majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), di Alor Setar, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Syeikh Zakaria Othman.

Majlis dengan kerjasama Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) cawangan Kedah/Perlis berkenaan turut meraikan seramai 200 mualaf berketurunan Tionghua.

Pengalaman yang hampir sama turut ditempuh oleh Muhammad Raayan Abdullah, 25, apabila dia melarikan diri daripada keluarganya di Pulau Pinang, dua bulan lalu.

Katanya, dia memeluk Islam sejak tahun lalu dan menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan keluarga sehinggalah ibunya menemui kad perakuan Islam miliknya.

“Saya kini sebatang kara, namun saya tetap tak mahu putuskan hubungan dengan ibu bapa. Saya akan cuba berhubung dengan mereka walaupun dimarahi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 6:56 PM