MOHD Syawal dan isteri bersama ibu tercinta dan dua anak mereka. FOTO: Aswadi Alias
MOHD Syawal dan isteri bersama ibu tercinta dan dua anak mereka. FOTO: Aswadi Alias
Yusliza Yakimir Abd Talib

KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah tiada galang gantinya. Malah, keterbatasan penglihatan tidak menjadikan bapa tabah ini memberi alasan atau mengeluh membesarkan dua anaknya berusia lima dan 10 tahun.

Berbekalkan tulang empat kerat, Mohd Syawal Abu Bakar, 39, membesarkan permata hatinya itu bersama isteri tercinta dengan penuh kasih sayang dan sedaya upaya memastikan keperluan mereka mencukupi.

Seboleh-bolehnya dia menolak simpati orang terhadap kekurangan diri kerana baginya selagi terdaya, tanggung­jawab menguruskan keluarga terletak di bahunya sebagai suami dan bapa.

Meskipun berdepan hakikat yang dirinya akan buta sepenuhnya seiring peningkatan usia, bapa tabah ini sudahpun reda dengan suratan takdir.

Penglihatannya kini amat terhad dengan mata kanan sudahpun buta sepenuhnya manakala kadar penglihatan mata kiri pula hanya berbaki kurang lima peratus. Dia hanya menanti masa panda­ngannya terus kelam dan gelita.

Mengakui sudah membiasakan diri dengan keadaan itu, dia dikesan mengalami masalah saraf mata pada usia kanak-kanak menyebabkan penglihatannya semakin merosot hingga berusia 23 tahun, sebelah matanya buta.

Mohd Syawal juga diuji apabila anak sulung­nya, Dayana Batrisyia, 10, turut mengalami nasib sama dengannya yang dikesan menghidap masalah penglihatan ketika kecil.

“Alhamdulillah, saya sebenarnya mampu hadapi ujian ini kerana enam daripada lapan adik-beradik saya juga cacat penglihatan. Ibu saya, Enon Osman yang kini berusia 75 tahun juga buta. Boleh dikatakan keadaan kami ini adalah penyakit diwarisi.

“Apa yang berlaku tentu saya terima sebagai ujian untuk menjadikan saya hamba yang bersyukur. Saya tidak pernah berasakan ia satu kekurangan, malah saya bersyukur bertemu jodoh dengan isteri, Tun Fatimah Tun Abdullah, 36, yang menerima saya seadanya.

“Dialah yang menjadi tulang belakang saya dan insya-Allah sama-sama mengharungi kehidupan ini dengan tabah demi membesarkan cahaya mata kami sebaik mungkin,” katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui berdepan cabaran apabila terpaksa merelakan anak sulungnya tinggal di asrama untuk memudahkan pembelajarannya.

Sebelum ini, anak­nya itu belajar di sekolah pendidikan khas cacat penglihatan di pusat bandar sehingga darjah tiga, namun jarak perjalanan yang agak jauh dari rumahnya yang terletak di PPR Bukit Jalil ke sekolah di Jalan Batu, Kuala Lumpur itu menyukarkan mereka mengatur masa hingga pelajaran anaknya kian merosot.

“Seawal jam 5 pagi saya perlu bersiap untuk menghantar Dayana ke sekolah dengan menaiki kenderaan awam. Habis sekolah pula saya mengambilnya dan tiba di rumah agak lewat. Akibatnya, Dayana sering mengadu penat.

MOHD Syawal gigih sara keluarga sambil bantu rakan senasib.
MOHD Syawal gigih sara keluarga sambil bantu rakan senasib.

“Di sekolah itu pula tidak disediakan asrama. Jadi saya terpaksa memindahkan Dayana ke sekolah pendidikan khas di Pulau Pinang yang sediakan asrama.

“Walaupun berat hati ini sebagai bapa, keputusan itu dirasakan terbaik demi pendidikannya. Bapa mana yang mahu berpisah jauh dengan anaknya, tambahan pula Dayana agak rapat dengan saya.

“Sejak berjauhan, memang terasa sunyi, macam kehilangan sesuatu sebab dia gemar berceloteh dan bergurau dengan adiknya, Muhammad Darwish Ramadhan.

“Kami korbankan perasaan demi masa depannya supaya dia boleh belajar dengan baik selepas memasuki asrama. Bagaimanapun, syarat wajib sekolah asrama itu, ibu bapa harus bawa pulang anak masing-masing sebulan sekali.

“Sikit sebanyak terubat kerinduan kerana berpeluang berjumpa Dayana setiap bulan walaupun kami perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM500 sebulan merangkumi kos perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk mengambil dan menghantar semula Dayana ke asrama,” katanya.

Disebabkan itu, dia dan isteri gigih mencari rezeki dengan mengambil upah sebagai pembeli peribadi barangan basah yang ditempah jiran tetangga untuk menambah pendapatan.

Mohd Syawal berkata, disebabkan dia tidak boleh memandu, isteri mengambil tugas itu manakala dia akan turun naik rumah jiran untuk menghantar barangan yang dipesan. Selagi ada kudrat dan tulang empat kerat, dia seboleh-bolehnya mahu berdikari dan tidak mengharap simpati orang atas kekurangan diri.

Meskipun pergerakannya terbatas namun tidak menghalangnya membantu rakan OKU cacat penglihatan sepertinya meraih pendapatan dengan menyediakan platform untuk mereka menjual hasil kraf tangan mahupun memberikan perkhidmatan urutan.

Menerusi Facebook Persatuan Pembangunan Ekonomi Orang Buta Malaysia (PPEOBM), Mohd Syawal giat mempromosi barangan dan perkhidmatan rakan senasibnya melalui pertubuhan yang ditubuhkan pada 2014 itu.

Katanya, sebelum ini dia pernah bekerja dengan persatuan lain dan menyedari peluang untuk meningkatkan ekonomi golongan sepertinya sangat terhad. Jadi, dia dan beberapa rakan yang juga cacat penglihatan terpanggil untuk menubuhkan persatuan itu bagi memudahkan rakan lain menjual hasil kerja tangan dan perkhidmatan mereka selain menyertai gerai pameran.

MOHD Syawal turut mengambil upah sebagai pembeli peribadi barangan basah yang ditempah jiran.
MOHD Syawal turut mengambil upah sebagai pembeli peribadi barangan basah yang ditempah jiran.

MAHU BERJASA

Melalui persatuan itu juga, katanya, mereka tidak meminta sumbangan sebaliknya hanya mencarikan peluang pekerjaan untuk orang buta lain yang ada kemahiran masing-masing sebagai mata pencarian.

“Ada ramai orang buta yang ada kemahiran menganyam dan membuat bakul dan kraf tangan, ada juga yang berkemahiran mengurut dan bermain alat muzik.

“Jadi, dengan sedikit pengetahuan yang ada, kami bantu mereka tambah pendapatan dengan sediakan platform jualan dalam talian dan menerusi gerai pameran.

“Kami memang me­ngalu-alukan mana-mana syarikat atau individu yang mahu membantu dengan menggunakan khidmat kami atau membeli produk yang dihasilkan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, dia berharap dirinya terus kuat dan berupaya mencari nafkah untuk mereka sekeluarga dan tidak membataskan diri mencari rezeki yang berkat di sebalik kekurangan diri.

Baginya, kekurangan diri itu menjadi pemang­kin semangat untuk berusaha lebih gigih dan berharap usahanya memberi pendidikan sempurna buat kedua-dua anaknya agar mereka dapat keluar daripada belenggu kemiskinan dan menjadi insan berjaya suatu hari nanti.

Inilah juga harapan semua bapa di seluruh dunia. Meskipun ada yang terpaksa berpisah dan tidak dapat melihat anak membesar di depan mata atas pelbagai faktor, jauh di sudut hati mereka tetap mahukan yang terbaik buat cahaya mata tersayang. Selamat Hari Bapa untuk semua!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 5:00 AM