Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Bagi Siti Hadijah Abu Bakar, ibu tunggal yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) buta, ada hikmah di sebalik Covid-19 iaitu, dia dapat kembali bersama-sama dengan lima anak tersayang.

Dalam tangis, Siti Hadijah, 46, berkata, sebelum ini, terpaksa berjauhan dengan anak berikutan keadaannya yang kekurangan.

Selain itu, kesibukan mencari rezeki sebagai tukang urut menyebabkan dia tidak mampu memberikan yang terbaik buat anak.

Untuk rekod, anak sulungnya iaitu Zulaikha, 17, OKU penglihatan rabun tetapi masih boleh mengikuti pelajaran di sekolah biasa, kini bersekolah asrama di Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah di Raub, Pahang.

Zulaikha dijaga ibu mentua Siti Hadijah sejak berusia setahun lebih.

Anak kedua, Nur Afikha, 15, OKU penglihatan, kini belajar di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, juga dijaga ibu mentua sejak berusia 40 hari.

Anak ketiga dan keempatnya iaitu Zulfiqkha, 9, serta Nur Zalikha, 7, pula terus dihantar ke asrama Akademi Tahfiz Al-Hidayah, Jalan Gurney, Keramat apabila mereka berusia tujuh tahun.

"Anak kelima iaitu Nur Aziekha, berusia lima tahun, kini berada di pra sekolah berhampiran rumah saya di Flat Taman Miharja di sini.

"Suami yang juga OKU buta meninggal dunia 27 Disember tahun lalu selepas agak lama terlantar akibat angin ahmar," katanya yang berasal dari Lubok Cina, Melaka.

OKU Penglihatan, Siti Hadijah Abu Bakar, 46 mengalirkan air mata tidak dapat menahan sebak ketika di temubual selepas menerima sumbangan usahawan OKU yang terjejas akibat pelaksanaan PKP 3.0. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
OKU Penglihatan, Siti Hadijah Abu Bakar, 46 mengalirkan air mata tidak dapat menahan sebak ketika di temubual selepas menerima sumbangan usahawan OKU yang terjejas akibat pelaksanaan PKP 3.0. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN

Siti Hadijah ditemui pada majlis pemberian sumbangan kepada OKU cacat penglihatan anjuran Pertubuhan Amal Pembangunan Usahawan OKU Penglihatan Malaysia (Perkum Malaysia) dan Sifu Bikers di sini, baru-baru ini.

Mengenai kehidupan kini, kata Siti Hadijah, walaupun Covid-19 menyebabkan pendapatannya terjejas namun dia dan semua anaknya gembira dapat meluangkan banyak masa bersama-sama.

"Tempoh ini amat menggembirakan kami. Kami dapat melakukan banyak perkara bersama-sama seperti memasak, bergurau dan pelbagai lagi.

"Pada saya, ini semua adalah rahmat Allah SWT," katanya.

Menurut Siti Hadijah, walaupun teruk terkesan namun dia bersyukur dan berterima kasih kepada banyak pihak, termasuk Perkum Malaysia serta Sifu Bikers yang membantu.

Siti Hadijah Abu Bakar, 46, OKU buta menjaga suaminya Khairul Fauzi Zainuddin juga OKU buta yang terlantar sakit angin ahmar hingga suaminya itu meninggal dunia 27 Disember tahun lalu pada usia 46 tahun. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
Siti Hadijah Abu Bakar, 46, OKU buta menjaga suaminya Khairul Fauzi Zainuddin juga OKU buta yang terlantar sakit angin ahmar hingga suaminya itu meninggal dunia 27 Disember tahun lalu pada usia 46 tahun. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN

Sementara itu, seorang lagi tukang urut buta, Mautiprika Abdul Taif, 43, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah berkata, dia bersyukur dengan bantuan berkenaan.

"Saya sentiasa berdoa kepada Allah SWT untuk menghilangkan kesusahan. Memang susah, saya perlu berjimat untuk berbelanja.

"Bagaimanapun, setakat ini, syukur kerana apa yang ada mampu menampung perbelanjaan saya, isteri serta tiga anak kami," katanya yang dipandu anak sulungnya, Nur Sharifah Hidayah, 9, sebagai jurupandu ke mana-mana sahaja termasuk ke lokasi untuk menerima bantuan.

Mautiprika dan isterinya, Rosidah Kiraman, 37, adalah OKU buta manakala tiga anak mereka, Nur Sharifah, Muhammad Muhaimin, 7, dan Muhammad Muzaimir, 3, dilahirkan normal.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 1:34 PM