Siti Zarinah Sahib

Ramai pesakit diabetes sedar pentingnya penjagaan luka pada kaki kerana mahu mengelak ia dipotong. Namun ramai tidak menyedari risiko diabetes bukan sekadar amputasi tetapi boleh menyebabkan kerosakan mata. Lebih teruk jika ia membuatkan pesakit mengalami cacat penglihatan kekal atau dipanggil retinopati diabetes.

Lebih mengejutkan apabila mereka yang berusia 30-an mula didiagnosis menderita penyakit ini sehingga terpaksa diberhentikan kerja akibat kebutaan.

Menurut Pakar Perubatan Oftalmologi Hospital Pakar An-Nur Bangi Dr Mahani Mohd Tamrin, dia menzahirkan kebimbangan mengenai kurangnya kesedaran masyarakat mengenai gejala ini sehinggakan kebanyakan pesakit yang didiagnosis retinopati diabetes adalah golongan muda.

“Sudah tentu ia mengganggu pekerjaan dan aktiviti seharian apabila mereka terpaksa berhenti kerja akibat keterbatasan penglihatan. Tidak lagi dapat membaca, menggunakan komputer atau memandu.

“Ini disebabkan ramai tidak mengambil endah dan hanya menjalani pemeriksaan mata apabila penglihatan semakin teruk sedangkan ia boleh dikawal seterusnya melambatkan komplikasi,” katanya.

Menurut Dr Mahani, retinopati diabetes adalah satu keadaan berlakunya kerosakan pada retina disebabkan oleh komplikasi diabetes.

DR MAHANI menunjukkan saraf mata akibat retinopati diabetes.
DR MAHANI menunjukkan saraf mata akibat retinopati diabetes.

“Ia berlaku disebabkan peningkatan paras gula dalam darah secara kronik yang akan merosakkan pembuluh darah dan sel mata seterusnya menjejaskan bekalan oksigen dan nutrisi pada mata. Sekiranya rawatan awal tidak diberi akan menyebabkan penglihatan merosot dan buta,” katanya.

Bagi penghidap diabetes, komplikasi awal biasanya ditunjukkan pada mata berbanding organ lain. Sekiranya pesakit datang disebabkan penglihatan sudah kabur, dia akan dirujuk kepada bahagian lain untuk memeriksa sama ada berlaku komplikasi lain atau tidak.

“Apa yang pesakit harus tahu cepat atau lambat komplikasi retinopati diabetes bergantung kepada paras gula dalam darah. Sekiranya terlalu tinggi dan tidak mendapatkan rawatan, ada pesakit mulai kabur penglihatan hanya selepas setahun didiagnosis menghidap diabetes,” katanya.

Tanda retinopati diabetes

Retinopati diabetes tidak menunjukkan tanda atau gejala teruk pada peringkat awal. Keadaan yang dipanggil retinopati tanpa proliferasi berlaku apabila pembuluh darah menjadi lemah dan mudah bocor menyebabkan adanya titik pendarahan dalam mata.

“Sering kali pesakit hanya bertemu doktor apabila mata mereka menghadapi masalah atau berada pada peringkat teruk. Pada peringkat ini mata mengalami kekurangan oksigen mengakibatkan pembentukan saluran darah baru yang kurang matang atau dipanggil iskemia.

“Saluran darah ini mudah pecah dan berdarah. Ini menyebabkan pesakit mengalami gejala kabur penglihatan atau hilang penglihatan secara tiba-tiba. Ada masanya saiz dan bentuk objek yang dilihat berubah-ubah,” katanya.

RETINOPATI diabetes boleh berlaku kepada golongan muda.
RETINOPATI diabetes boleh berlaku kepada golongan muda.

Menurut Dr Mahani lagi, pesakit yang menghidap retinopati diabetes masih mampu mempunyai daya penglihatan yang baik sekiranya makula atau saraf optik mereka tidak terjejas walaupun untuk kes retinopati diabetes proliferatif.

Namun nasihatnya segera melakukan pemeriksaan sekiranya terdapat beberapa gejala di bawah:

1. Ketajaman penglihatan mulai menurun atau kurang fokus.

2. Melihat perubahan warna kerana kurangnya sensitiviti.

3. Muncul bayang gelap secara tidak menentu. Ini akan mengganggu penglihatan sekiranya bayang hitam ini kelihatan di tengah mata.

4. Garis lurus terlihat bengkok atau melengkung.

Rawatan

Dr Mahani berkata, pada masa ini ada tiga bentuk rawatan yang dapat diberi kepada pesakit retinopati diabetes proliferatif iaitu suntikan antiradang, laser dan pembedahan.

1. Suntikan langsung ubat antiradang (anti VEGF) dibuat bagi mengurangkan bengkak pada makula yang bertanggungjawab bagi membolehkan penglihatan menjadi lebih jelas.

2. Laser dilakukan pada bahagian retina periferi bagi memberhentikan pusingan penglihatan yang membentuk VEGF hasil daripada kekurangan oksigen seterusnya menghalang pembentukan salur darah baru. Kaedah ini dapat membantu mengawal penyakit daripada merebak ke peringkat yang lebih serius.

3. Pembedahan hanya dilakukan pada tahap yang teruk apabila terdapat pendarahan dalam mata yang berterusan atau lekangan pada urat saraf.

Jelas Dr Mahani, dalam setiap penyakit pencegahan adalah paling utama. Oleh itu kerosakan mata akibat diabetes boleh dilambatkan sekiranya pesakit mempunyai kesedaran dan mula menjalani pemeriksaan terutama mereka yang berisiko mempunyai keturunan dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

“Jika pesakit datang awal, sekurang-kurangnya rawatan untuk mengekalkan penglihatan dapat diberikan. Jika sudah terlewat, retina yang rosak teruk tidak boleh diselamatkan lagi. Pesakit akan berdepan masalah buta seumur hidup kerana retina tidak boleh ditukar atau ditransplan, tidak seperti kornea,” jelasnya.

PEMERIKSAAN mata perlu dilakukan secara berkala.
PEMERIKSAAN mata perlu dilakukan secara berkala.

Bagi mengelak retinopati diabetes, Dr Mahani menasihatkan pesakit terutamanya golongan muda mendapatkan pemeriksaan mata sebaik saja mereka disahkan diabetes. Selepas mendapat maklumat, mereka seharusnya mengawal paras gula dalam darah agar tidak menjadi lebih tinggi.

“Amalkan gaya hidup sihat dengan menjaga pemakanan, bersenam dan menjalani pemeriksaan mata secara berkala supaya rawatan awal dapat diberikan,” katanya.

Walaupun risiko ini tidak boleh dihilangkan, dengan pengawalan yang baik, komplikasi yang biasa berlaku dapat dielakkan.

Sekiranya seseorang itu patuh arahan doktor, dia mungkin mengambil masa selama 10 tahun sebelum kerosakan retinanya beralih daripada peringkat permulaan ke pertengahan.

“Namun, jika pesakit tidak begitu menjaga kesihatannya, tidak mustahil dalam tempoh lima tahun, dia akan buta,” katanya.

Selain itu, penting bagi ibu hamil mengetahui mengenai retinopati diabetes yang juga boleh berlaku kepada mereka. Justeru wanita yang menghidap diabetes dan merancang untuk hamil serta mereka yang mendapat diabetes ketika hamil perlu memastikan doktor memantau keadaan mata sepanjang tempoh mengandung.

“Pastikan penglihatan dalam keadaan baik dan menjaga pemakanan ketika kehamilan terutama pesakit diabetes,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 2:04 PM