NANY Adifah menyediakan bekalan sihat untuk Khaleef Uwais ke sekolah. FOTO Zunnur Al Shafiq
NANY Adifah menyediakan bekalan sihat untuk Khaleef Uwais ke sekolah. FOTO Zunnur Al Shafiq
Siti Zarinah Sahib

SEAWAL jam 5 pagi, Nany Adifah Abdullah Kamal, 38, sudah mula memasak bagi menyediakan bekalan untuk ketiga-tiga anaknya Nasrin Hannah Mohamad Fadhly, 11, Khaleef Umair, 9, dan Khaleef Uwais, 7. Bergantung kepada jenis menu yang akan disediakan, kebiasaannya dia sudah menyediakan bahan mentah sebelum tidur bagi mempercepatkan proses menyediakan bento keesokannya harinya.

Ujar Nany Adifah, ada kala proses menghasilkan bento mengambil masa lama dan pernah juga seperti kurang menjadi. Namun tidak kira cantik atau kurang menarik bento yang dihasilkan, pasti anak akan dibekalkan makanan setiap hari.

Sejak menetap di Jepun pada 2014 sehingga 2016, amalan membawa bekal memang menjadi kebiasaannya. Malah kanak-kanak di Jepun diajar membawa bento ke sekolah kerana mereka sangat menjaga kebersihan dan kesihatan. Ibu bapa pula sering menekankan kepada si kecil mengenai pemakanan yang betul dan menyihatkan. Antaranya membawa nasi putih ke sekolah bersama lauk-pauk, sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Mereka juga selalu membawa dalam jumlah sedikit tetapi diserikan dengan pelbagai menu di dalamnya. Gabungan menu pelbagai warna dan rasa ini menyebabkan kanak-kanak di Jepun sentiasa teruja dan seronok apabila dapat menikmati bekalan yang disediakan ibu bapa. Apatah lagi, apabila dimakan bersama kawan dan guru mereka,” katanya.

Oleh kerana Nasrin Hannah di hantar ke sekolah Tokyo Iqra’ International School, semua pelajar diwajibkan membawa bekalan dari rumah.

“Ketika mula menyediakan bento untuk Nasrin, dia sangat teruja disebabkan bercampur dengan pelajar daripada pelbagai bangsa dan berlainan budaya. Sudah tentu, mereka sangat seronok apabila dapat bertukar-tukar makanan antara satu sama lain. Kadang-kadang, sebelum masuk tidur, anak saya akan bertanya menu bento untuk esok,” katanya.

Menurut Nany, oleh kerana dia belum mahir mengenai hiasan, jenis acuan dan bentuk yang dihasilkan menjadi cabaran terbesar. Namun kemudahan teknologi sangat membantu untuk mendapatkan maklumat mengenai bento yang menyihatkan dan perlu disediakan setiap hari.

“Jika tiada idea saya merujuk di Internet iaitu di Instagram menggunakan tanda pagar seperti #bekalanak, #bekalsihat, #cutebento dan #bentoforkids. Selepas itu, saya cuba mengolah sendiri mengikut kesesuaian dan cita rasa anak. Antara bento yang pernah saya hasilkan adalah nasi goreng mentega, sandwic telur dan tuna, bihun goreng, mi goreng, gulungan tortilla ayam, nasi lemak, jemput-jemput pisang, kek pisang, sushi, nuget, kebab ayam, roti piza dan mufin.

“Menu ini saya ulang dan membuat hiasan berbeza bagi memberikan rasa teruja kepada si kecil. Setakat ini mereka sangat gembira dapat membawa bekal dari rumah dan makan bersama rakan,” katanya.

NANY menunjukkan bento yang disediakan kepada anaknya, Khaleef Uwais. FOTO Zunnur Al Shafiq.
NANY menunjukkan bento yang disediakan kepada anaknya, Khaleef Uwais. FOTO Zunnur Al Shafiq.

Tambah ibu kepada tiga cahaya mata ini lagi, agak mencabar untuk menyediakan sajian bento yang sentiasa dalam kategori menu sihat. Ini disebabkan kekangan masa dan perancangan yang teliti perlu dilakukan supaya semua bahan dapat disediakan sebelum memasak esok paginya.

Dalam usaha memberikan khasiat secukupnya kepada anak, Nany akan cuba memastikan bekalan yang disediakan mengandungi semua zat makanan termasuk karbohidrat, protein dan kalsium.

“Sebagai contoh gulungan tortilla ayam, kepingan tortilla itu sendiri berasaskan sumber karbohidrat. Untuk intinya pula saya cuba memasukkan kepingan dada ayam yang digoreng atau dipanggang. Untuk vitamin saya selitkan daun salad, hirisan tomato dan timun manakala sumber kalsium menerusi susu kotak perisa asli sebagai pelengkap hidangan,” katanya.

Walaupun menyedari anak tidak menggemari sayur-sayuran, Nany tetap memasukkan sayuran hijau dalam bento mereka tetapi memilih sayur yang tidak pahit seperti timun, lobak merah, brokoli dan bunga kubis. Jika tiada unsur sayur-sayuran Nany akan menggunakan buah-buahan sebagai gantinya seperti anggur, epal, kiwi, pisang dan nangka.

“Untuk hidangan nasi goreng atau bihun goreng, saya sering meletakkan lobak merah dan kubis kerana rasanya sedap. Begitu juga jika menyediakan sandwic, saya akan memastikan ada hirisan tomato, timun dan daun salad di dalamnya,” jelasnya.

Nany yang menjadi suri rumah sepenuh masa menjelaskan, banyak kebaikan diperoleh apabila menyediakan bekalan untuk anak. Antaranya membantu dalam penjimatan kos sara hidup di Jepun.

“Di Jepun kos sara hidup sangat tinggi. Tanpa bekal ini, ibu bapa terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk makanan anak di sekolah. Bento adalah jalan terbaik untuk mengurangkan bajet ibu bapa,” katanya.

Sekembalinya ke Malaysia, amalan itu diteruskan walaupun membawa bekal tidak menjadi budaya dalam kalangan pelajar sekolah di sini terutama apabila usia meningkat. Ini kerana selain menjimatkan, dia menyediakan menu sihat dan mampu membantu otak lebih cergas.

“Sebagai ibu sudah semestinya kita ingin memberikan yang terbaik kepada anak. Antara cara terbaik untuk memastikan makanan anak terjamin kebersihan dan kaya khasiat adalah dengan membawa bekal dari rumah.

“Malah anak yang baru memasuki persekolahan tidak perlu beratur panjang dan berebut untuk mendapatkan makanan dan minuman di kantin pada waktu rehat. Jadi pada waktu rehat yang pendek, mereka boleh makan dengan tenang dan mengatur waktu belajar. Anak juga akan lebih ceria. Saya juga membekalkan air masak bagi menggalakkan mereka banyak minum supaya dapat mengekalkan kecergasan mental dan fizikal,” tambahnya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 3:59 PM