HIASAN kreatif oleh Nurul Akhmar untuk bekal anaknya.
HIASAN kreatif oleh Nurul Akhmar untuk bekal anaknya.
IDEA sediakan bekalan makanan amat praktikal kurangkan kos harian.
IDEA sediakan bekalan makanan amat praktikal kurangkan kos harian.
ANTARA hidangan yang disediakan Ramona untuk anaknya yang bersekolah.
ANTARA hidangan yang disediakan Ramona untuk anaknya yang bersekolah.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Fenomena membawa bekal ke sekolah dan tempat kerja kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat hari ini. Baik bekerja di sektor swasta mahupun kerajaan, kebanyakan daripada kita bersetuju membawa bekal adalah salah satu cara untuk mengurangkan perbelanjaan harian yang semakin meningkat.

Lebih menarik apabila ibu bapa bekerja ini turut mempunyai anak yang bersekolah sekali gus menjadikan idea menyediakan bekal ini sangat praktikal.

Namun, amalan membawa bekal ke sekolah mahupun ke tempat kerja perlu dilakukan secara konsisten, tanpa mengira matlamat yang disemat pasti dapat dicapai dengan berjaya.

Bagi ibu dua cahaya mata, Nurul Akhmar Nordin, banyak sebab yang menggalakkan dirinya berusaha menyediakan bekal setiap hari untuk suami dan anak termasuk diri sendiri.

Biarpun anak sulungnya, Muhammad Adam Mikhail Muhammad Taufiq baru memulakan persekolahan darjah satu tahun ini, dia tekad untuk bangun seawal jam 4 pagi bagi menyiapkan bekal untuk seisi keluarga.

“Banyak faktor yang menyebabkan saya lebih suka menyediakan bekal untuk anak. Antaranya, pilihan makanan di kantin sekolah yang kurang memuaskan dan lebih kepada makanan diproses.

“Pada masa sama, waktu rehat yang singkat juga menyebabkan kebarangkalian anak tidak dapat membeli makanan di kantin adalah tinggi. Justeru, jika menyediakan sendiri makanan untuk mereka, tahap kebersihan, kualiti dan jenis hidangan yang diambil oleh anak lebih terjaga,” katanya.

Selain anak sulungnya itu, dia turut memastikan anak keduanya, Azzalea Hana, 4, dan suami, Muhammad Taufiq Aris membawa bekal yang sama untuk dimakan di tadika atau di tempat kerja.

Bekal unik hiasan menarik

Nurul Akhmar, 31, yang bekerja sebagai eksekutif kanan juruanalisis sistem di syarikat utiliti berkata, hampir setiap hari dia mula memasak seawal jam 4.30 pagi.

Bagi mengelakkan kelam-kabut, dia akan membuat perancangan terlebih dulu mengenai bahan dan menu yang akan dimasak sepanjang minggu bekerja.

“Biasanya, saya akan rancang pada Ahad setiap minggu bagi menyiapkan bahan masakan yang akan digunakan untuk minggu depan.

“Cara ini akan memudahkan saya menyiapkan hidangan dan menentukan tempoh memasak yang sepatutnya bagi mengelakkan kami lambat ke tempat kerja atau sekolah.

“Misalnya, saya akan memasak sambal pada waktu malam jika keesokan paginya mahu menyediakan nasi lemak,” kata­nya.

Bukan hanya memilih menu yang enak saja, malah Nurul Akhmar sentiasa memastikan bekal seisi keluarga dilengkapi dengan protein, karbohidrat, buah dan pencuci mulut.

Bagi hidangan pencuci mulut pula, dia tidak mempunyai masalah untuk menyediakannya memandangkan Nurul Akhmar menjalankan perniagaan berkenaan dari rumah.

Justeru, dia akan membuat tambahan pencuci mulut untuk bekalan anak dan suami. Secara tidak langsung, ia dapat menjimatkan masa memikirkan menu dan menyediakan pencuci mulut setiap hari.

Pada masa sama, dia juga akan memastikan bekal yang dibawa anaknya dihias dengan kreatif dan nampak menarik untuk menggalakkan anaknya menghabiskan makanan berkenaan.

“Bagi saya, menghias makanan akan menaikkan selera anak secara automatik dan akan membuatkan mereka teruja untuk menghabiskan makanan yang dibawa.

“Saya yakin hiasan yang kreatif akan membuatkan anak lebih bersemangat untuk membawa bekal ke sekolah. Buktinya anak saya sendiri begitu teruja apabila menerima bekas bekal mereka. Setiap hari sebelum ke sekolah, perkara pertama yang mereka hendak tengok adalah hiasan bekal.

“Apabila melihat mereka gembira, saya turut rasa seronok dan bersemangat untuk menyediakan bekal hari berikutnya. Selain itu, hiasan yang kreatif juga mendorong anak untuk cuba makan setiap hiasan yang terdapat pada hidangan,” katanya.

Ujarnya, anaknya juga seperti kanak-kanak lain yang tidak suka makan ­sayur. Jadi dia akan membentuk lobak merah menjadi bunga untuk menggalakkan anak menikmatinya hingga habis. Bagi mendapatkan idea hiasan makanan yang menarik, dia biasanya melayari laman web Jepun kerana masyarakat negara matahari terbit itu memang terkenal dengan hiasan bento untuk kanak-kanak.

Bukan itu saja, dia juga akan mendapatkan idea daripada anaknya sendiri mengenai hiasan yang digemari atau diinginkan untuk dihias pada bekal mereka.

Menariknya, dia dan suami turut membawa bekal ke tempat kerja. Baginya, ibu yang mahu menyediakan bekalan makanan untuk anak perlu terus berusaha. Walaupun hidangan yang disediakan ringkas, menu daripada air tangan ibu itu sendiri mampu membuatkan anak dan suami tersenyum gembira.

“Jangan lupa untuk kepil­kan nota ringkas yang kecil pada bekal anak dan suami dengan kata-kata rangsangan, pujian atau kasih sayang setiap hari. Ia juga salah satu cara komunikasi yang berkesan apatah lagi dalam masyarakat kita yang kurang masa bersama keluarga kerana sibuk bekerja,” katanya.

Menu ringkas tapi menyelerakan

Bagi Ramona Ramli, 37, dia mula menyediakan bekal sekolah sejak anak sulungnya, Mohamad Hafiy Dinie, 12, memasuki alam persekolahan disebabkan makanan yang disediakan di kantin sekolah tidak menepati cita rasanya.

Tambahan pula ketika itu anak sulungnya bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). Selepas berpindah sekolah, anaknya mahu membawa bekal kerana masa rehat yang singkat.

“Pada masa sama, anak saya enggan bersesak dan beratur membeli makanan selain jarak kelas yang agak jauh dengan kantin. Justeru, anak saya lebih suka membawa bekal kerana ia lebih mudah dan boleh makan dengan tenang.

“Setiap hari saya akan sediakan menu berlainan dan syukur, anak saya tidak cerewet dalam soal makan. Ada kalanya, mereka sendiri yang meminta saya menyediakan hidangan yang disukai untuk dibawa ke sekolah.

“Namun apabila kekeringan idea, saya akan meninjau laman Facebook rakan lain yang turut menyediakan bekal untuk anak masing-masing,” katanya.

Selain Mohamad Hafiy Dinie, anak kedua, Haifaa Durrah, 9, turut membawa bekal ke sekolah. Biarpun sibuk dengan tugasan sebagai pensyarah, Ramona tidak pernah bosan atau menganggap tugas itu membebankan biarpun perlu ‘beraksi’ di dapur setiap pagi kerana semuanya boleh disediakan dengan mudah jika mempunyai perancangan rapi.

Ujar ibu tiga anak ini, perancangan menu akan dibuat setiap hujung minggu. Bagi memudahkan dirinya, ada sesetengah menu seperti pes sambal, kari atau ayam yang diperap perlu disediakan awal pada waktu malam atau apabila ada masa terluang.

Ramona akan mengambil masa selama satu jam ke 45 minit menyiapkan dua jenis bekal dua anaknya untuk dimakan ketika waktu rehat dan tengah hari.

“Saya perlu memilih menu yang sesuai dan tahan lama untuk anak kerana ia perlu dimakan dalam dua waktu yang berbeza. Bukan hanya jenis hidangan yang perlu diambil kira, malah cara pembungkusan yang betul juga perlu betul bagi memastikan bekal anak tidak cepat basi.

“Saya tidak mementingkan sama ada makanan itu dibuat sendiri atau tidak, namun perkara lebih penting adalah anak mendapat makanan secukupnya dan tidak perlu membeli,” katanya.

Baginya, menyediakan bekal ini bukan satu kerja remeh atau perlu bangun awal pagi. Jika dilakukan dengan ikhlas demi kebaikan anak, semua kerja akan jadi mudah.

Selain itu, jangan terlalu cerewet dalam pemilihan dan penyediaan menu setiap hari seperti bekal perlu berhias menarik atau makanan hanya dimasak di rumah saja.

Untuk memudahkan ibu berkerjaya, cuba berbincang dengan anak mengenai pilihan menu digemari bagi menggalakkan mereka menghabiskan bekal yang dibawa setiap hari.

Pada peringkat awal, kehilangan bekas makanan adalah perkara biasa. Jangan marah atau membebel kerana lama-kelamaan masalah ini akan dapat diatasi apabila mereka sudah biasa membawa bekal sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 5:14 AM