ROTI, buah dan sekotak susu sudah memadai sebagai bekal seimbang anak ke sekolah.
ROTI, buah dan sekotak susu sudah memadai sebagai bekal seimbang anak ke sekolah.
Suliati Asri


PEMAKANAN seimbang sangat penting terutama bagi pelajar sekolah kerana dengan makanan yang sihat, ia dapat menyokong pertumbuhan serta perkembangan mereka.

Dengan pembukaan semula sekolah sejak 1 Mac lalu, rata-rata ibu bapa menyiapkan anak-anak dengan bekal yang dimasak sendiri di rumah.

Selain itu, bagi pelajar yang tidak membawa bekal, ibu bapa mempunyai pilihan dengan membuat tempahan awal makanan dengan pihak pengurusan kantin dengan kadar bayaran berpatutan.

Melihat kepada pendekatan yang diambil bagi memastikan pelajar tidak bersesak di kantin selain mengelak dari penularan Covid-19, membawa bekal atau membuat tempahan makanan adalah peluang terbaik dalam memastikan anak-anak mengambil pemakanan yang sihat.

Pegawai Sains Pemakanan, Fara Wahida Rezali berkata, ini masa dan peluang kepada ibu bapa untuk menyediakan makanan yang sihat serta pada masa sama menerapkan amalan pemakanan sihat.

Menurutnya, membawa bekal adalah salah satu cara untuk galakkan anak makan secara sihat kerana pemakanan sihat ini sebenarnya diterapkan bermula dari rumah.

"Ibu bapa adalah suri teladan (role model) kepada anak-anak dalam pelbagai perkara termasuk pengambilan pemakanan sihat.

"Tetapi, di sekolah apabila disediakan makanan sihat, lama-kelamaan tabiat pengambilan makanan sihat boleh diterapkan kerana satu pertiga waktu harian murid dihabiskan di sekolah.

"Justeru, kebolehdapatan makanan dan minuman yang berkhasiat ketika di sekolah sangat penting untuk pastikan anak dapat makan dengan sihat dan seimbang," katanya.

Fara berkata, sebenarnya ibu bapa, pihak sekolah termasuk pengurusan sekolah dan pengusaha kantin perlu memainkan peranan bagi memastikan makan yang di makan pelajar adalah berkhasiat serta bukan hanya disebabkan perintah kawalan pergerakan.

"Pada masa sama akan mengajar mereka untuk mengambil makanan sihat.

"Ini juga adalah salah satu cara untuk membudayakan amalan pemakanan sihat dalam keadaan sekarang ini, tetapi dengan syarat makanan yang disediakan itu mesti makanan yang sihat," katanya.

SEKOTAK susu, bijirin dan roti bun serta buah juga adalah bekalan yang seimbang.
SEKOTAK susu, bijirin dan roti bun serta buah juga adalah bekalan yang seimbang.

Bagi ibu bapa yang menyediakan bekal kepada anak, menurut Fara, makanan yang disediakan sepatutnya berkhasiat, seimbang dan lengkap pelbagai kumpulan makanan iaitu karbohidrat, protein, sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Makanan yang disediakan bukan makanan yang terlalu tinggi kalori, makanan yang tak sihat, makanan manis seperti donut dan makanan yang diproses kerana makanan proses ini mengandungi kandungan garam yang tinggi.

"Membekalkan anak dengan air kordial, berkarbonat dan manis jika boleh dielakkan," katanya.

Bagi pengurusan kantin pula, mereka perlu menyediakan pilihan menu makanan yang sihat dan lengkap.

"Kantin sekolah mempunyai satu garis panduan dalam penjualan makanan dan minuman di kantin. Jadi, sepatutnya apa saja makanan yang dijual sebelum dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu mengikut kepada garis panduan terbabit.

"Senarai makanan seperti makanan proses, nuget, kentang goreng, sosej, makanan ringan, keropok, makanan yang dijeruk dan tinggi kandungan gula termasuk air kordial serta berkarbonat adalah tidak dibenarkan.

"Dalam hal ini, kalau boleh kita mahu pihak kantin menyediakan pilihan menu makanan yang lebih sihat selain bertukar setiap minggu dan bukan semua bergoreng," katanya.

Nasi putih lauk ayam paprik, ayam masak lada hitam dan pelbagai lagi menu ditambah dengan sayur-sayuran dan buah-buahan cukup serta seimbang.

Berkongsi status pemakanan kanak-kanak di negara ini, kata Fara, ia kini semakin merisaukan.

Fara berkata, kalau dilihat kajian yang dilakukan pada 2015, kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi mendapati, satu daripada 10 kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun mempunyai masalah obesiti.

Bukan itu saja, menurutnya, 13 peratus dari kanak-kanak di Malaysia juga mempunyai masalah kurang berat badan selain 20.1 peratus pelajar tidak mengambil sarapan sebelum ke sekolah.

"Perkara ini menunjukkan tahap pemakanan kanak-kanak di Malaysia tidak memuaskan. Oleh demikian, banyak lagi perkara yang perlu ditekankan selain pelbagai pihak perlu bekerjasama untuk mengatasi memastikan anak-anak mendapat makanan yang sihat dan dapat menyokong pertumbuhan serta perkembangan mereka.

"Walaupun pemakanan sihat dan seimbang perlu bermula dari rumah, namun pihak sekolah dan ibu bapa perlu bekerjasama rapat supaya status pemakanan anak-anak dalam keadaan memuaskan serta baik," katanya.

Mengulas mengenai kewajaran ilmu pemakanan seimbang diselitkan dalam silibus pendidikan atau segmen tertentu, kata Fara, dalam keadaan Malaysia yang menjadi negara nombor satu tertinggi masalah obesiti di Asia Tenggara, info pemakanan patut diterapkan.

MURID menikmati bekal makanan yang dipesan di kantin atau dibawa dari rumah pada waktu rehat.
MURID menikmati bekal makanan yang dipesan di kantin atau dibawa dari rumah pada waktu rehat.

Menurutnya, kita mahu pelajar tahu makan secara sihat bagaimana kerana pemakanan seimbang ini perlu dipraktikkan dari kecil.

"Sebenarnya pemakanan sihat memerlukan pengetahuan, membabitkan tingkah laku dan perlu dipupuk dari kecil lagi.

"Kalau dilihat kini banyak penyakit tidak berjangkit berkait rapat dengan pemakanan seperti obesiti, kencing manis dan darah tinggi," katanya.

Fara berkata, pemakanan sihat ini tidak ada yang khusus asalkan ia seimbang, sihat dan semua kumpulan pemakanan ada.

"Dalam penyediaan makanan apa yang penting makanan yang disediakan tidak tinggi gula atau lemak. Untuk makan tengah hari, nasi putih, ayam masak lada hitam, sayur dan buah sudah mencukupi.

"Bagi ibu bapa yang sibuk, membekalkan pau ayam, jambu batu dan susu juga sudah mencukupi. Ringkas, tetapi sihat dan seimbang," katanya.

Menyedari kesibukan si ibu terutama yang perlu menjaga anak dan bekerja, tip ini mungkin boleh gunakan dalam menyediakan bekal makanan seimbang kepada anak.

"Tip pertama yang sangat penting adalah membuat perancangan menu untuk seminggu. Namun, suka saya tekankan, menu yang dirancang itu perlu seimbang, sihat, pelbagai dan tidak semestinya menu yang terlalu berat atau sukar dimasak.

"Ketika merancang menu, bincang juga dengan anak supaya apa yang kita sediakan bukan saja berkhasiat, tetapi bersesuaian juga dengan selera anak," katanya.

Tip seterusnya adalah pembelian bahan makanan yang diperlukan pada hujung minggu.

Bagi memudahkan untuk memasak di sebelah pagi, selain ibu mungkin perlu bangun 30 hingga 45 minit lebih awal dari biasa, siapkan juga semua bahan mentah lebih awal supaya kita tidak mengambil masa lama untuk memasak.

Sehari sebelum memasak pula, sayur-sayuran mungkin sudah siap dipotong. Ayam atau ikan yang beku boleh di simpan di ruang penyimpanan sejuk dingin. Bagi ibu yang terlalu sibuk dan mungkin mengejar masa untuk ke pejabat, kata Fara, mereka boleh membeli atau menyiapkan makanan yang ringkas.

"Roti bun inti kacang merah, bun ikan bilis di sertakan dengan satu kotak susu dan buah-buahan. Bekal itu sudah dikira pilihan yang sihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 7:00 AM