FAZRY ketika menjalani rawatan.
FAZRY ketika menjalani rawatan.
BIASA hidup di laut dan juga seorang penyelam.
BIASA hidup di laut dan juga seorang penyelam.
PERLU duduk di alat kebuk oksigen bagi memastikan diri kekal sihat.
PERLU duduk di alat kebuk oksigen bagi memastikan diri kekal sihat.
FAZRY ketika menjalani rawatan.
FAZRY ketika menjalani rawatan.
Siti Nadirah Hafidzin

Kisahnya dalam melawan masalah kesihatan dihidapi membuka mata banyak pihak terutama orang ramai yang kebanyakannya tidak tahu mengenai masalah dekompresi, juga dikenali sebagai penyakit penyelam.

Tidak kira lelaki ataupun wanita, tua mahupun muda, semua individu seakan-akan tertanya-tanya mengenai penyakit itu terutama kaedah rawatan yang perlu dijalani dan risiko yang mungkin dihadapi.

Bagi Fazry Erwan Kamarudin, 31, yang juga seorang penyelam dan pengusaha bot pelancong, niat asalnya berkongsi pengalaman berdepan masalah kesihatan yang jarang ditemui dan kaedah rawatan penyakit itu di media sosial untuk memastikan setiap individu peka dan sekurang-kurangnya tahu mengenai dekompresi.

Menurutnya, mengikut penjelasan pakar perubatan, dekompresi berlaku disebabkan gas nitrogen yang terlarut dalam tisu badan melalui tekanan persekitaran yang rendah. Ia akan bertukar menjadi buih apabila nitrogen meresap ke dalam badan.

“Semuanya bermula kira-kira dua tahun lalu apabila saya mula mengesan saya tidak selesa apabila berada di darat. Untuk berasa sedikit selesa, saya perlu berada di atas bot.

“Apabila di darat, saya tidak selesa, mengalami mabuk darat kronik, kebas di hujung jari, sejuk terlampau di tapak tangan, jari dan kaki hingga paling teruk seluruh badan seolah-olah lumpuh dan tidak dapat bergerak,” katanya.

Fazry berkata, dia mula bertemu doktor untuk mengesan masalah yang dihadapi apabila mengalami pelbagai simptom yang membimbangkan.

“Malangnya selepas bertemu lebih 10 doktor, masalah dekompresi yang saya hidapi ini tidak dapat dikesan. Hampir semuanya menyatakan saya tiada apa-apa masalah dan tidak menghidapi sebarang penyakit berbahaya.

“Disebabkan sangat tidak selesa berada di darat, saya hidup di atas bot. Keadaan saya bertambah teruk apabila saya perlu berada di darat. Akhirnya saya menerima rawatan sebagai pesakit vertigo di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Pahang sebelum dibenarkan keluar Februari lalu kerana semua keputusan pemeriksaan normal,” ujarnya.

Menurut Fazry, dia juga tidak terkecuali mencuba kaedah perubatan Islam dan tradisional namun semuanya mengatakan keadaannya normal.

“Saya menjadi semakin buntu, mana tidaknya asalkan naik ke darat keadaan diri menjadi tidak menentu. Saya banyakkan membaca mengenai semua simptom yang dialami. Pada penghujung Februari lalu, saya mula mengesyaki saya mengalami masalah dekompresi.

“Akhirnya saya mendapat bantuan daripada seseorang yang menerangkan mengenai dekompresi dan cara untuk bertahan. Dia juga mencadangkan supaya saya mendapatkan rawatan di Institut Perubatan Bawah Air dan Hiperbarik (IPBAH) di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak. Di situ ada doktor pakar dan menyediakan rawatan untuk dekompresi,” katanya.

MULA JALANI RAWATAN

Fazry berkata, bermula detik itu hingga kini, dia menjalani rawatan bagi mengatasi masalah dekompresi yang dihidapinya. Disebabkan itu, dia perlu berada dalam alat kebuk oksigen di IPBAH dan ia ternyata amat membantu dirinya.

“Sebenarnya masalah ini agak kritikal memandangkan cara rawatannya hanya bergantung kepada alat kebuk oksigen dan saya dapat bernafas dengan baik di dalam alat ini yang bertekanan tinggi seperti di dalam air.

“Waktu rawatan biasanya pagi iaitu bermula jam 8 atau 10 pagi bergantung kepada kesediaan pakar perubatan dan tempoh rawatan bergantung pada tahap kesihatan saya,” katanya.

Tambahnya, dia perlu menjalani tempoh rawatan enam atau tujuh jam ketika dia lumpuh satu badan.

“Bagi mengelak tekanan kerana berada di hospital dan perlu menjalani rawatan dalam tempoh yang lama, saya memilih untuk tinggal di hotel berhampiran IPBAH.

“Saya yakin ia langkah terbaik untuk saya bagi mengelak daripada tertekan menghadapi masalah ini. Lokasi hotel ini dekat dengan IPBAH bagi memudahkan saya mendapatkan rawatan terutama pada waktu kecemasan,” ujarnya.

Menurut Fazry, jika dilihat pada keadaan fizikalnya, dia kelihatan normal kerana mampu berjalan seperti biasa, namun apa yang dibimbangkan dia boleh lumpuh secara tiba-tiba tanpa mengira waktu.

“Kini saya juga tidak boleh bekerja kerana perlu fokus pada sesi rawatan. Pada masa sama, saya juga tidak boleh terkena panas dan sinaran matahari, perlu makan dan minum sajian panas, tidak boleh mengangkat berat melebihi tiga kilogram (kg) atau menggunakan tenaga berlebihan bagi memastikan saya tidak lumpuh semula.

“Atas faktor itu juga saya tidak boleh berjauhan daripada alat kebuk oksigen kerana ada risiko perkara tidak diingini boleh terjadi pada bila-bila masa saja,” katanya.

HARAP KESIHATAN YANG BAIK

Tiada apa yang diharapkan daripada anak kelahiran Kota Bahru, Kelantan ini melainkan dia dapat hidup sihat dan normal seperti insan lain.

“Syukur, ada beberapa simptom mula berkurangan dan keadaan kesihatan saya semakin baik. Namun segalanya masih baru dan saya perlu terus menjalani rawatan ini sehingga keadaan saya benar-benar okey.

“Mungkin ini takdir saya, tetapi saya perlu kuat untuk melawan masalah kesihatan ini. Ramai yang lihat saya sentiasa ceria dan gembira. Segalanya adalah untuk mendapatkan kekuatan dalam melawan dekompresi yang boleh membawa maut secara mengejut,” katanya.

Menurutnya, penyakit ini masih tidak dikupas secara menyeluruh dan disebabkan itu perlu adanya kesedaran serta pengetahuan terutama kepada penyelam di negara ini.

“Sangat membimbangkan kerana anda akan kelihatan sihat namun secara tiba-tiba boleh lumpuh dan jika tidak dirawat segera boleh membawa maut.

“Buat masa ini, hanya alat kebuk oksigen kaedah rawatan untuk dekompresi dan saya berharap dapat segera sembuh seperti sedia kala,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 10:28 AM