Pegawai perubatan yang lengkap memakai PPE, membawa mayat mangsa Covid-19 untuk upacara bakar mayat di New Delhi. FOTO AFP
Pegawai perubatan yang lengkap memakai PPE, membawa mayat mangsa Covid-19 untuk upacara bakar mayat di New Delhi. FOTO AFP
Agensi

New Delhi: Gelombang kedua penularan Covid-19 yang melanda India menyebabkan lebih 350,000 kes dilaporkan setiap hari.

Ia menyebabkan ahli keluarga kepada individu positif virus itu terpaksa menggunakan media sosial untuk mendapatkan bantuan.

Dari pagi hingga malam, mereka melayari akaun Instagram dan menghantar mesej di kumpulan WhatsApp.

BBC melaporkan, ahli keluarga menggunakan media sosial untuk mencari katil di hospital, oksigen dan ubat bagi masalah kesihatan akibat jangkitan Covid-19.

Apabila mesej WhatsApp tersebar 'dua katil ICU (unit rawatan rapi) kosong', beberapa minit kemudian, katil itu sudah 'dihuni' oleh pesakit baharu.

Mesej lain berbunyi: "Tangki oksigen diperlukan. Tolong bantu".

Sistem kesihatan di India lumpuh dan kini, nyawa pesakit Covid-19 di negara itu antara hidup atau mati.

Menurut penulis di BBC, Georgina Rannard, dia bercakap dengan seorang lelaki yang mencari oksigen di WhatsApp untuk sepupu berusia 30 tahun di Uttar Pradesh, pada Jumaat.

"Selepas saya menyelesaikan artikel ini pada Ahad, lelaki itu sudah meninggal dunia," katanya.

Ada ahli keluarga keletihan selepas berhari-hari mencari bantuan untuk rawatan bagi menyelamatkan nyawa orang tersayang.

Seorang lagi individu, Avani Singh berkata, dia dan ibunya, Amrita berusaha mencari bantuan untuk datuknya yang berusia 94 tahun yang positif Covid-19.

"Saya melihat di media sosial dan ikuti laman yang menyatakan apa saja berkaitan katil ICU atau 'tempat ini mempunyai oksigen'. Kami mencuba kira-kira 200 tempat," katanya.

Menerusi rakan sekolah, mereka mendapat sebuah hospital dengan katil tetapi tidak mempunyai tangki oksigen. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 6:40 AM