PERINCIAN unik untuk yang berani. FOTO Hafiz Sohaimi
PERINCIAN unik untuk yang berani. FOTO Hafiz Sohaimi
Intan Mas Ayu Shahimi


TERLALU ringkas. Itu tanggapan pertama sebaik busana pengantin Ezuwan Ismail diperagakan di pentas The Wedding KL 2019. Siapa saja yang mengenali hasil tangan pereka muda ini tentu tahu Ezuwan tidak pernah meninggalkan elemen sarat perincian dalam koleksi pentasnya.

Namun sebaik meneliti satu persatu busana yang diperaga, baru tampak jelas konsep yang cuba diketengahkan. Setiap helaian baju pengantin ini sarat dengan emosi pasangan bercinta.

Kata Ezuwan, koleksi Love Letter itu diterjemah daripada perasaan cinta, kasih sayang dan manisnya hubungan bagi setiap pasangan yang hendak melangkah ke alam pernikahan.

Jauh berbeza dengan koleksi songket potongan moden Inggeris yang diperkenalkan tahun lalu, Ezuwan berkata, dia sengaja memilih tema minimalis dan manis, namun masih sesuai diperincikan dengan taburan batu mewah.

“Tahun ini saya bawakan 24 koleksi kurung moden yang diberikan sentuhan tradisional. Saya memang sukakan kebaya dan pesak gantung. Jadi kedua-dua elemen ini digabungkan untuk mencipta busana unik dan menarik buat koleksi perkahwinan kali ini.

SULAM tampal bunga tonjol saat manis bersama. FOTO Hafiz Sohaimi
SULAM tampal bunga tonjol saat manis bersama. FOTO Hafiz Sohaimi

“Sebenarnya, bertukar surat cinta ini amalan biasa dalam kalangan pasangan. Dulu mereka hantar surat, tapi sekarang lebih kepada e-mel dan pesanan ringkas. Namun, tujuannya sama.

“Justeru, saya ambil karakter dalam surat cinta ini dan cuba menonjolkan momen percintaan, ayat cinta, mainan emosi dan terjemahkan dalam koleksi dengan menghasilkan rekaan manis dan minimalis. Kalau dilihat sekali imbas, memang terlalu ringkas dan tak ada yang sarat.

“Bunga yang digunakan dibuat sendiri, kemudian ditampal sulam pada fabrik. Keseluruhan koleksi ini menggunakan fabrik berkualiti tinggi antaranya renda, jaring, sifon, neoprene, organza, satin dan sutera. Ada juga yang gunakan kapas bawal, bergantung kepada rekaan,” katanya.

Jelas Ezuwan, dia memilih kelainan dalam koleksi itu untuk mempelbagaikan pilihan supaya sesuai dengan majlis ijab kabul dan persandingan raja sehari.

“Ramai yang tanya, kenapa tidak sarat macam selalu. Koleksi yang diperagakan ini untuk pertunjukan saja. Bagi yang sukakan gaya minimalis, konsep itu sudah ada.

“Namun, bagi yang mahukan kelainan, perincian sarat dan tambahan lain, pakej itu sentiasa ada dan hanya dibuat mengikut tempahan pelanggan,” katanya.

BUSANA menarik buat persandingan. FOTO Hafiz Sohaimi
BUSANA menarik buat persandingan. FOTO Hafiz Sohaimi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 11:56 AM