SEGAR, berani dan menepati trend semasa.
SEGAR, berani dan menepati trend semasa.
Intan Mas Ayu Shahimi


SEGAR, berani dan menepati trend semasa. Ramai memuji koleksi busana musim bunga dan panas 2020 yang ditampilkan Jubahsouq di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW2019) baru-baru ini.

Komited membawa kelainan dalam koleksi kali ini, pengasas jenamanya Mohammad Zaki Muhammad Amin (Zack Amrul) dan Amirudin Yatin memilih gaya ringkas dan berani, sesuai untuk wanita yang sukakan penampilan elegan serta mewah.

Bermain dengan rona terang bertemakan sitrus seperti lemon, tangerin dan limau kasturi, helaian busana musim ini dilihat banyak menggunakan elemen ekstra untuk menghidupkan rekaan.

Antara yang paling ketara potongan bahu kembang. Kata Zack Amrul, perincian itu sengaja dipilih untuk mencetuskan elemen drama buat pemakai.

“Selain itu, kami juga menggunakan fabrik broked bercorak Renaissance untuk menonjolkan ciri mewah dan gaya sofistikated wanita moden,” katanya.

Meneliti satu persatu hasil rekaan jenama ini, ternyata busana dengan latar berwarna-warni lebih mudah mencuri perhatian. Ia bukan saja nampak unik, malah cukup klasik.

MEWAH dan gaya sofistikated wanita moden.
MEWAH dan gaya sofistikated wanita moden.

“Kalau dulu, di kampung, perca disimpan untuk menghasilkan selimut atau cadar. Tetapi, kali ini kami sepakat menjadikan teknik tampal-cantum sebagai inspirasi dalam gaya.

“Kami potong fabrik pelbagai warna dan tekstur menjadi seakan-akan perca dan dicantum kembali menjadi kain. Ia teknik sinonim dalam penghasilan selimut dan kini mempengaruhi arus fesyen semasa,” katanya.

Melihat kepada perubahan gaya dalam rekaan kali ini, pasti ramai yang tertanya-tanya mengenai konsep dan hala tuju jenama terbabit pada masa depan.

Kata Zack Amrul, jenama itu akan terus mengekalkan DNA sebagai pengeluar busana Muslimah, bahkan komited untuk menampilkan lebih banyak rekaan sopan yang menepati batas fesyen sedia ada.

“Biarpun rekaan di pentas KLFW 2019 nampak berani dan lebih segar, ia tetap sesuai digayakan Muslimah.

“Setiap helaiannya menutup bahagian

lengan, leher dan dada. Tidak kira sama ada Muslimah atau wanita bukan Islam, mereka masih boleh kelihatan kemas dan elegan dengan cara serta gaya tersendiri,” katanya.

Ada sekurang-kurangnya 18 rekaan busana dengan pilihan warna menarik. Setiap helaian dihasilkan daripada fabrik selesa antaranya jenis broked, sutera shantung dan satin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 5:50 AM