PADANAN blaus longgar dan skirt serlahkan gaya feminin.
PADANAN blaus longgar dan skirt serlahkan gaya feminin.
RONA putih jadi pilihan dalam kebanyakan rekaan gaun yang dicipta dalam cetakan vintaj.
RONA putih jadi pilihan dalam kebanyakan rekaan gaun yang dicipta dalam cetakan vintaj.
GAUN denim diberi sentuhan moden menerusi rekaan berstruktur.
GAUN denim diberi sentuhan moden menerusi rekaan berstruktur.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Simbahan rona terang, menonjol dan hangat sering diangkat selaku elemen penting setiap kali munculnya musim bunga.

Tidak kira apa jua gaya atau rekaan, mainan warna cerah dengan cetakan ringkas yang sinonim dengan musim ini sentiasa melatari koleksi hampir semua rumah fesyen antarabangsa.

Miss Selfridge bagaimanapun lari seketika daripada stereotaip itu dengan menampilkan dua gaya malar segar yang dipengaruhi cedokan trend dari seluruh dunia.

Gaya anggun dan romantis menjadi titik tumpuan pada elemen pertamanya. Tekstur feminin menjadi inspirasi penting dalam himpunan ini yang mana kombinasi material renda, organza dan fabrik jarang saling membentuk stail lembut yang versatil.

Rona putih yang digabungkan bersama palet pastel dan corak minimum nyata membantu menyerlahkan gaya wanita moden.

Skirt potongan lurus dan blaus longgar pula ditambah perincian minimum yang menghasilkan siluet lembut.

Gaun tidak dilupakan, malah menjadi keutamaan di Miss Selfridge yang menampilkan rekaan kontur bagi menyerlahkan bentuk tubuh si pemakai.

Gaun dicipta dalam cetakan vintaj sementara renda halus disuntik lagak berani dengan padanan kasut bercirikan maskulin.

Sesekali ia diselangi gaya sporty dengan pilihan warna polos yang menjadi titik tumpuan pada elemen seterusnya.

Potongan minimalis bersama garisan kemas tidak ketinggalan menjadi watak utamanya yang boleh dilihat menerusi padanan blaus longgar bersama helaian formal dalam rona biru dan putih.

Helaian denim diubah sedikit menerusi gaun berstruktur dan skirt potongan kembang ketepikan seketika padanan bersama celana jean kerana ia langsung tiada dalam kamus stail Miss Selfridge kali ini.

Walaupun kebanyakan potongan dan rekaannya berlatarbelakangkan era 1970-an, beberapa padanan memberi impak sofistikated terutama apabila digandingkan bersama aksesori minimum.

Struktur jahitan feminin menjadi kebanggaannya, daripada gaun dengan kolar tinggi hinggalah ke jumpsuit rekaan mini.

Menggabungkan stail ringkas dan kasual, gaya ini lebih menumpukan pakaian kasual hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:04 AM