REKAAN menarik dan feminin untuk wanita tampil bergaya ketika jalani aktiviti.
REKAAN menarik dan feminin untuk wanita tampil bergaya ketika jalani aktiviti.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Menyarungkan persalinan sukan yang baik dan cantik boleh memberi semangat untuk bersenam atau menjalankan aktiviti pilihan. Kini ASICS tampil dengan koleksi terbaru yang menggayakan corak daripada Liberty Fabrics.

Jenama itu memperkenalkan dua corak daripada pereka British itu kepada portfolio pakaian dan kasut kecergasan studio mereka.

Bagi koleksi ini, Liberty Fabrics digunakan pada jaket tenunan hud, seluar tenunan pendek, sulaman celana ketat, baju lengan pendek, sulaman cekak kepala dan kasut GEL-FIT SANA SE.

Koleksi pakaian dan kasut itu menggunakan corak Liberty Fabric yang popular bersama corak klasik yang dihasilkan pereka tekstil itu.

Pengurus Besar Kanan Global Bahagian Pemasaran ASICS Corporation, Paul Miles berkata, pihaknya bangga dapat bekerja dengan jenama terkenal seperti Liberty Fabrics.

“Kami amat gembira untuk memperkenalkan koleksi pertama seumpamanya yang mempamerkan corak ikonik dan fabrik di dalam barisan koleksi kecergasan kami.

“ASICS dan Liberty Fabrics berkongsi minat sama terhadap kraf dan kualiti, kami berharap untuk menghasilkan corak yang unik dan dikenali ramai sebagai sebahagian daripada barisan produk yang versatil,” katanya.

KERJASAMA dengan pereka Britain menimbulkan impak tersendiri.
KERJASAMA dengan pereka Britain menimbulkan impak tersendiri.

Kedua-dua corak yang diperkenalkan dalam koleksi itu adalah Strawberry Thief dan Ciara. Kedua-dua corak ini akan dimasukkan dalam produk kecergasan ASICS, bermula dengan GEL-FIT SANA SE yang menampilkan produk berprestasi ringan, bernafas dan serba boleh khas untuk wanita yang mementingkan keselesaan dan fungsi.

Jaket tenunan hud menampilkan pergelangan tangan bercorak timbul tersembunyi untuk mengekalkan kehangatan, fabrik regangan empat hala bagi keselesaan dan kain nilon berkalis air ringan untuk menghalang angin dan hujan. Boleh didapati pada harga RM579.

Seluar tenunan pendek menampilkan kain nilon kalis air yang ringan, celana dalaman dan tali untuk pergerakan yang sesuai dan selesa berserta poket dalaman pada harga RM229.

Celana ketat menampilkan kain fabrik regangan empat hala untuk fleksibiliti, band pinggang yang lebar bersama poket. Baju lengan pendek pula menampilkan fabrik serap peluh untuk pemakai berasa kering, tali dan perincian versatil yang bersesuaian dan bergaya.

Sulaman cekak kepala direka dengan kain fabrik yang lembut untuk menghalang rambut daripada menutupi wajah si pemakai dengan lebih baik.

Koleksi kasut GEL-FIT SANA SE pula ideal untuk latihan studio dan latihan ringan. Corak silang di bahagian tapak tengah akan memastikan lenturan dan penyesuaian yang dapat memaksimumkan pergerakan semula jadi tapak kaki.

Mono-sock yang penuh dan rekaan lancar dapat mewujudkan pemakaian bersesuaian untuk membantu meningkatkan senaman. Koleksi ini boleh didapati dalam dua corak Liberty Fabrics, Strawberry Thief dan Ciara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 12:01 AM