Fairul Asmaini Mohd Pilus


TENUNAN antara lambang kehalusan seni kraf tangan masyarakat Melayu yang diwarisi sejak zaman berzaman.

Keistimewaan tenunan terletak kepada kemahiran dan kreativiti penenun itu sendiri dalam mengolah indah motif, warna serta material yang digunakan.

Kain songket misalnya antara hasil tenunan berkualiti tinggi yang sentiasa malar segar dan memiliki nilai tinggi di pasaran.

Tidak hairanlah jika ia turut digunakan dalam majlis kebesaran di istana dan acara perkahwinan.

Namun, entah di mana silapnya, seiring perkembangan semasa, seni kraf tenunan kini dikatakan semakin sukar mendapat tempat di hati golongan muda.

Pereka fesyen terkenal, Salikin Sidek berkata, masyarakat terutama golongan muda perlu dididik untuk menghargai seni tenunan kraf tangan tempatan bagi mengelakkan ia luput ditelan zaman.

Kata beliau, ia boleh dihargai dengan cara memakainya di majlis atau program tertentu kerana fesyen berasaskan material tenunan kini sudah semakin kontemporari.

Katanya, berbanding material lain fabrik tenunan seperti songket juga malar segar dan sentiasa menjadi pilihan utamanya dalam menghasilkan sesuatu rekaan.

"Ramai yang salah anggap bahawa kain songket, samping dan sebagainya hanya sesuai untuk fesyen pakaian tradisional semata-mata sedangkan ia boleh dipelbagaikan lebih daripada itu.

"Kain songket misalnya boleh dijadikan pelbagai rekaan baju manakala samping pula dijadikan sebagai pario.

ANTARA hasil tenunan menarik masyarakat Iranum di Sabah.
ANTARA hasil tenunan menarik masyarakat Iranum di Sabah.

"Menerusi sendikit sentuhan kreativiti dan inovasi, kain tenunan songket sememangnya mampu menjadi tekstil yang menarik dan bernilai tinggi," katanya ketika program Wacana Kraf 2023, Keanggunan Kraf Tenunan Malaysia, sempena penganjuran Hari Kraf Kebangsaan 2023 di Kompleks Kraftangan, ibu negara, baru-baru ini.

Wacana berkenaan turut disertai penggiat seni yang memiliki 28 tahun pengalaman dalam bidang seni dan kraf, John Ang serta Pensyarah Kanan Jabatan Seni Reka Tekstil, Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Juita Jaafar Manap.

Hadir sama, Adiguru Songket, Wan Manang Wan Awang dan selebriti terkenal, Datuk Seri Shah Reza.

Dalam pada itu, Ang berkata, berdasarkan pengalamannya mengumpul tekstil sejak puluhan tahun lalu, ramai yang tidak menyedari bahawa seni tekstil dunia Melayu sudah sekian lama diterima di seluruh dunia.

Kata Ang, karakter dan cara pembuatan tekstil Melayu sememangnya lebih istimewa kerana ia menggabungkan teknik inovasi dan tradisional.

"Selain itu, terdapat 12 kategori tekstil Melayu yang berbeza di negara ini iaitu songket, limar, telepuk, sulaman, pelangi, ikat loseng, tenunan, tapestry cetakan, batik, rende dan anyaman.

"Untuk kain songket di dunia Melayu contohnya ada yang berasal dari Terengganu, Kelantan, Filipina, Sumbawa, Sumatera, Thailand dan sebagainya.

WAN Manang (kiri) dan Shah Reza melihat koleksi songket Ang.
WAN Manang (kiri) dan Shah Reza melihat koleksi songket Ang.

"Namun diakui, kain songket dari negara ini lebih cantik dan istimewa dengan kualiti tersendiri,"katanya.

Sementara itu, Juita berkata, seni tenunan adalah satu warisan yang terus mendapat tempat istimewa dalam kebudayaan Nusantara.

Beliau yang menjalankan kajian dalam seni tenunan masyarakat Iranum di Sabah berkata, semua corak dan reka bentuk tenunan masyarakat itu diilhamkan dari alam semulajadi.

"Seperti kebanyakan budaya tradisional, artis (penenun) biasanya cenderung mendapatkan inspirasi daripada flora dan fauna alam sekitar.

"Tetapi terdapat juga reka bentuk hasil tenunan masyarakat berkenaan yang diadaptasi daripada mimpi.

"Namun secara keseluruhan, kebanyakan reka bentuk adalah daripada asas segi empat sama dan segi tiga," katanya.

Apa yang nyata, perkembangan idea motif tradisional dan kontemporari seni tenunan diolah dari pelbagai sumber alam.

Nilai estetik kain tenun bukan saja dapat dilihat pada reka corak tetapi pada bahan yang digunakan selain kemahiran merancang pembinaan fabrik yang akan dihasilkan.

Kreativiti dalam penggunaan teknik, bahan dan corak juga dapat memvariasikan lagi penghasilan produk tenunan untuk fesyen semasa di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 7:00 AM