NORHIZAN berkongsi pengalaman sebagai peserta kajian klinikal.
NORHIZAN berkongsi pengalaman sebagai peserta kajian klinikal.

Dunia terasa seakan-akan gelap, dirinya kehilangan punca saat didiagnosis kanser paru-paru. Tiada sebarang simptom atau tanda, dia mengetahui mengenai kanser itu selepas menjalani pemeriksaan untuk penyakit lain.

Pengalaman 10 tahun lalu itu masih segar dalam ingatan Norhizan Abdul Rahman, 69, malah jika diimbas kembali dia sikit pun tidak menyangka masih mampu tersenyum bahagia bersama suami tercinta, Mohd Arop Mohd Muzir dan empat anaknya.

Saat ditanya, adakah dia sedih dengan apa yang menimpanya, pesara guru ini tersenyum mengimbas detik pertama mendengar khabar duka doktor mengesahkan kanser yang dihidapi.

“Masa itu, saya memang tidak dapat terima hakikat dan tertanya kenapa yang dipilih untuk menerima ujian ini. Saya menangis semahu-mahunya, suami menenangkan dan dialah yang banyak beri sokongan.

“Kata-kata perangsang dan dorongan suami menguatkan semangat saya untuk berjuang dan sentiasa mengingatkan diri, ini adalah ujian dan dugaan daripada Allah untuk insan yang mampu hadapinya.

“Alhamdulillah, dengan izin Allah saya juga terpilih menjadi sebahagian program rawatan klinikal bagi penggunaan ubat baru dan selama tujuh tahun bertahan dalam perjuangan ini,” katanya.

Norhizan ditemui pada program Penerangan Media anjuran Clinical Research Media (CRM). Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif CRM Dr Akhmal Yusof dan Ketua Pembangunan Perniagaan CRM Dr Khairul Faizi Khalid.

Norhizan antara pesakit pesakit dan sukarelawan yang terpilih menyertai penyelidikan klinikal oleh CRM yang juga organisasi di bawah Kementerian Kesihatan untuk melengkapkan ekosistem serta memberi sokongan meningkatkan tahap penyelidikan klinikal di negara ini.

Sejak penubuhannya pada 2002, CRM sudah menjalankan lebih 939 penyelidikan tajaan industri (ISR) yang juga memberi peluang serta kemahiran mengenai penyelidikan klinikal kepada doktor serta profesional lain di dalam dunia perubatan seperti pegawai farmasi, jururawat serta pegawai sains.

UJIAN UNTUK INGAT ALLAH

Mengimbas pengalamannya berdepan penyakit yang digeruni itu, semuanya bermula apabila dia mengalami sakit belakang dan menjalani pembedahan memasang skru di tulang belakangnya.

Menurutnya, sebelum pembedahan dia perlu menjalani ujian sinar-X dan ketika itu doktor mendapati ada sista pada paru-paru, hati dan tulangnya.

Pembedahan diteruskan dan selepas itu barulah beberapa ujian diagnosis seperti imbasan CT dan endoskopi dilakukan namun tiada kanser ditemui sehinggalah imbasan ketiga yang menunjukkan perkembangan kanser.

“Sebulan selepas itu, saya didiagnosis dan disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga. Memang sukar menerima hakikat itu pada awalnya tapi berkat sokongan suami dan keluarga saya mampu hadapinya dengan tenang.

“Kekuatan daripada mereka ini menyebabkan saya tidak fikir sebagai seorang penghidap kanser. Saya perlu lakukan sesuatu untuk melupakan kesakitan saya.

“Saya hidup seperti biasa memasak, buat kerja rumah dan terus melakukan perkara yang disukai seperti menanam bunga. Malah saya juga membasuh selain sering bercuti bersama suami dan anak,” katanya.

Menurutnya, apabila keluar rumah atau bercuti, tiada siapa tahu dia penghidap kanser kerana dia menjalani kehidupan dengan gembira .

Katanya, setiap pesakit kanser perlu berfikiran positif dan reda, malah sering berpesan kepada rakan bahawa ujian yang diturunkan ini agar kita sentiasa mengingati Allah dan mungkin satu cara untuk memperbaiki diri.

“Saya amat berterima kasih kepada kumpulan penjagaan kesihatan yang memberi peluang kepada saya untuk menjalani rawatan yang bersesuaian dalam program itu. Saya juga bersyukur ubatan yang diambil memberi kesan positif kepada saya,” katanya.

KEPENTINGAN UJIAN KLINIKAL

Dalam pada itu, Dr Akhmal berkata, bagi membolehkan Malaysia lebih kompetitif di peringkat global, CRM mengambil langkah proaktif bagi memastikan ekosistem penyelidikan klinikal di Malaysia dilengkapkan dengan kebolehan menjalankan penyelidikan Fasa I di Malaysia.

Ini secara tidak langsung, katanya dapat memastikan bilangan kajian pada peringkat lebih lanjut dipertingkatkan dan menarik perhatian pelabur yang terdiri daripada syarikat multinasional untuk datang ke Malaysia bagi menjalankan ISR mereka.

Menurutnya, pesakit dan sukarelawan yang memilih menyertai penyelidikan klinikal akan dipastikan mendapat penerangan secukupnya sebelum mereka memberi persetujuan secara sukarela.

Selain itu, katanya, mereka mempunyai hak dikecualikan daripada penyelidikan yang disertai tanpa perlu memberi sebarang alasan. Ada kes sukarelawan kajian klinikal yang menghidap sesuatu penyakit menunjukkan tahap kesihatan yang lebih baik.

“Untuk memastikan pesakit menerima piawaian penjagaan terbaik dan menjaga kepentingan mereka, sebuah jawatankuasa etika pusat yang dikenali sebagai Jawatankuasa Etika & Penyelidikan Perubatan KKM (MREC) akan mengkaji dengan teliti semua data serta dokumen dari pihak syarikat penaja sebelum meluluskan ujian klinikal.

“Jawatankuasa ini terdiri daripada kumpulan pakar saintifk dan bukan saintifik dalam pelbagai bidang pengkhususan, serta orang awam terpilih bagi memastikan bahawa ujian klinikal mempunyai tujuan perubatan yang sah, selamat untuk sukarelawan dan pesakit serta tidak mendedahkan mereka kepada sebarang risiko berlebihan.

“Salah satu cabaran besar yang menghalang kejayaan ujian klinikal ialah mencari sukarelawan untuk menyertai penyelidikan dan ini menyebabkan rawatan yang berpotensi buat pesakit yang memerlukannya tidak dapat sampai ke klinik dan pasaran dengan lebih awal.

“Di samping itu, CRM juga membantu doktor yang terbabit dalam penyelidikan klinikal bagi memastikan mereka dapat melaksanakan kajian klinikal dengan optimum serta mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengatasi cabaran ini, CRM melancarkan kempen ‘I Am Aware’ bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan dan manfaat ujian klinikal dan menyediakan sumber untuk membantu individu membuat keputusan yang lebih tepat berasaskan hak bagi sukarelawan.

Kempen itu katanya sudah diadakan di 33 hospital kerajaan dan tiga universiti. Hampir 2,500 pesakit dan sukarelawan daripada pelbagai hospital kerajaan dan swasta dan universiti berjaya didaftarkan. -Yusliza Yakimir Abd Talib

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 4:12 PM