TENAGA pengajar kursus membuat sabun buatan tangan.
TENAGA pengajar kursus membuat sabun buatan tangan.
ASLINDA (kiri) menunjukkan cara membuat sabun kepada pelajar.
ASLINDA (kiri) menunjukkan cara membuat sabun kepada pelajar.
GLISERIN cair dimasukkan dalam acuan untuk dibekukan.
GLISERIN cair dimasukkan dalam acuan untuk dibekukan.
Siti Zarinah Sahib

Satu dapur dan periuk kecil tersedia di atas meja. Di sisinya, disediakan beberapa bekas kecil berisi minyak zaitun, minyak kelapa dara, vitamin C dan serbuk kolagen yang menjadi bahan utama dalam penghasilan sabun wajah.

Sesi dimulakan dengan penerangan daripada Aslinda Ali Akhtar yang berpengalaman menjadi tenaga pengajar dalam penghasilan sabun wajah buatan tangan. Kelas dimulakan dengan cara membuat sabun menggunakan gliserin yang dipotong halus.

“Gliserin adalah bahan utama dalam pembuatan sabun. Tanpa bahan ini pembentukan sabun tidak berlaku. Proses pencairan mengambil masa 30 minit sebelum minyak zaitun, kelapa dara, vitamin C dan kolagen dicampurkan ke dalamnya. Namun ia terpulang kepada individu jenis dan kegunaan sabun yang hendak dihasilkan peserta.

“Ada yang ingin menghasilkan sabun untuk jerawat, jeragat dan resdung. Untuk resdung bahan herba seperti kulit kayu manis dan cengkih dicampurkan dalam ramuan bagi menyekat kehadiran kuman resdung pada kulit,” katanya.

Paling penting semua bahan digunakan mendapat sijil halal Jakim dan Kementerian Kesihatan Malaysia serta tidak menggunakan bahan kimia. Menurut Aslinda, dia teruja berkongsi ilmu mengenai pembuatan sabun wajah buatan tangan di rumah memandangkan ingin membantu wanita terutama mereka yang mempunyai perniagaan supaya dapat menghasilkan produk sendiri.

Ketika berada di Korea Selatan selama sebulan, Aslinda turut mengikuti kelas membuat barang kosmetik menggunakan bahan organik. Sebelum ini dia banyak dimomokkan mengenai pembedahan plastik yang dilakukan kebanyakan wanita di sana.

“Tetapi selepas melihat sendiri perkembangan industri kecantikan dengan kehadiran produk kecantikan berasaskan bahan semula jadi, saya percaya bukan semua wanita Korea cantik disebabkan membuat pembedahan muka. Sebaliknya mereka rajin membelai wajah menggunakan produk sesuai kulit dan tiada bahan kimia,” katanya.

Sejak itu Aslinda terus meningkatkan kemahiran dengan berkunjung ke Indonesia dan Thailand bagi mengetahui teknik terkini, keistimewaannya dan perbezaan di setiap negara. Teknologi yang diperoleh ini disampaikan kepada orang lain supaya dapat dimanfaat­kannya.

Dengan kepakaran yang dimilikinya ini, Aslinda bukan saja mempelajari formulasi dalam pembuatan sabun, tetapi krim malam dan siang juga serum.

“Kelas yang saya anjurkan bermula dalam kumpulan kecil seramai lima orang kemudian ia meningkat sehing­ga setakat ini hampir 300 pelajar menyertainya. Ada juga yang sekadar inginkan ilmu untuk menjalankan perniagaan ada juga masih di awang-awangan produk yang akan dihasilkan.

“Untuk itu saya bukan setakat mendedahkan mengenai formulasi, tetapi juga memberikan idea produk namun dihasilkan dalam kuantiti yang sedikit. Saya sedar untuk mengeluarkan produk memerlukan modal besar namun sekiranya mempelajari sendiri, mereka dapat menghasilkan dalam jumlah yang kecil serta berdasarkan masalah kulit sendiri,” katanya.

Bermula dengan produk jamu berasaskan manjakani, menurut Aslinda ketika zaman remaja dia sering melihat nenek saudara berusia 120 tahun namun gigih menghasilkan jamu sendiri di rumah.

“Setiap kali berkunjung ke rumah nenek saya gemarkan bauannya yang segar dan sering melihat nenek membuat jamu sendiri. Suatu hari nenek memanggil saya dan menyatakan keinginan untuk menurunkan rahsia pembuatan jamu kepada saya.

“Dia membawa saya berkunjung ke kedai India bagi memilih herba untuk membuat jamu kemudian menunjukkan cara pembuatannya. Buat permulaan saya tidak menjual sebaliknya memberikan kepada kenalan dan keluarga untuk dicuba. Dalam masa dua minggu saya mendapat panggilan daripada pelanggan yang ingin mendapatkan jamu manjakani selepas bersalin,” katanya.

Teruja pelajari ilmu baru

Bagi Yusilham Sufi Nik Hassan, 29, hampir dua tahun dia menjadi ejen produk penjagaan wajah orang lain. Selepas yakin mampu melakukan pemasaran sendiri dia menyertai kelas membuat sabun buatan tangan anjuran Aslinda pada tahun lalu.

“Selepas habis kelas saya menghasilkan sejenis sabun dulu dan memberikan kepada rakan serta ahli keluarga untuk dicuba. Selepas mereka memberikan maklum balas positif baru saya berani memasarkannya kepada rakan lain.

“Kini saya menghasilkan lima jenis sabun untuk lima masalah kulit berbeza. Menariknya saya tidak perlu menghasilkan dalam kuantiti yang banyak, tetapi sejumlah kecil saja. Modalnya juga sangat rendah. Sesuai bagi mereka yang ingin berniaga secara kecil-kecilan,” katanya yang bercadang menghasilkan sabun untuk bayi pula selepas ini.

Bagi Mohd Farihan Samsudin, 38, dia menyertai kelas membuat sabun bersama isteri selepas tertarik dengan ilmu yang diberikan. Selepas mendapat formula dan teknik menghasilkan sabun, Farihan dan isteri mula menghasilkan sabun untuk mencerahkan wajah menggunakan serbuk mutiara dan pati delima.

“Buat permulaan saya hanya menghasilkan 50 sabun yang kemudiannya diberikan kepada ahli keluarga untuk dicuba. Isteri saya turut menggunakannya dan mengakui tiada kesan sampingan,” katanya yang bercadang menghasilkan sabun merawat resdung berasaskan herba.

Bagi Dzulkifli Abdul, 51, minat dalam bidang perniagaan menyebabkan dia tertarik mengeluarkan produk sendiri bagi merawat masalah rambut beruban. Buat permulaan dia mendapatkan maklumat di Internet kemudian mencari petua mengatasi masalah rambut beruban.

“Daripada situ saya mendapati tumbuhan semula jadi seperti pandan, minyak kelapa dara dan mengkudu adalah bahan terbaik merawat masalah rambut terutama rambut gugur dan uban. Lebih membuatkan saya ingin membantu mereka yang mempunyai masalah ini. Selain faktor usia, tekanan juga boleh membuatkan rambut cepat beruban,” katanya.

Menyertai kelas Aslinda kerana ingin mendapatkan ilmu secara praktikal, bagi Dzulkifli ilmu yang diberikan ini sangat bernilai kerana ia bukan dikhususkan kepada produk sabun saja sebaliknya untuk krim dan serum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 9:54 AM