SHARA mengenakan solekan nipis ketika keluar rumah.
SHARA mengenakan solekan nipis ketika keluar rumah.
 INGIN membantu wanita kekal cantik dan sihat.
INGIN membantu wanita kekal cantik dan sihat.
Siti Zarinah Sahib

Biarpun usia sudah melangkah ke pertengahan 40-an, kulit wanita ini kelihatan segar tanpa garis penuaan. Berkulit cerah tanpa sebarang cela, jelas Shara Zuhaney Ahmad, ia berkat penjagaan wajah yang diamalkan sejak zaman remaja.

Dia percaya kulit perlu ‘dibelai’ dengan rutin penjagaan setiap hari iaitu membersih, menyegar dan melembap menggunakan produk sesuai.

“Saya sangat prihatin mengenai kulit kerana kecantikan akan terpancar menerusi wajah yang ceria dan segar. Oleh itu saya menggunakan tiga produk utama selain memastikan wajah dicuci bersih sebelum tidur. Elak daripada tidur dengan solekan kerana ia boleh menyebabkan kulit rosak,” katanya yang ditemui di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Menceritakan lebih lanjut, mengenai amalan kecantikannya, ibu tiga cahaya mata ini memberitahu dia banyak membaca dan bertanya mereka yang lebih arif mengenai apa perlu digunakan setiap kali usia meningkat.

“Saya diberitahu badan akan kehilangan kolagen apabila usia mencecah 25 tahun ke atas, jadi saya mula memakai serum sebagai langkah pencegahan awal untuk mengelak pigmentasi. Saya juga mengambil makanan tambahan berbentuk vitamin C, kolagen dan jamu tradisional.

“Sehingga sekarang saya masih mengamalkan jamu untuk kesihatan dalaman dan memastikan badan tampil cergas,” tegasnya.

Dia turut menggabungkan pengambilan ulam-ulaman dan buah-buahan kerana selain baik untuk tubuh, ia juga menambah vitamin serta mineral diperlukan kulit.

Katanya, apabila kulit sudah cantik, apa saja jenis alat solek akan menghasilkan keserasian lalu menampakkan wajah berseri. Percaya kepada kuasa solekan yang mampu merubah wajah individu mengikut acara yang akan dihadiri mereka, bagi Shara wanita tidak perlu melupakan terus alat solek biarpun usia bertambah.

“Alat solek yang tidak pernah saya tinggalkan adalah bedak asas, gincu, celak dan pemerah pipi. Walaupun hanya keluar sekejap, saya pastikan wajah disalut bedak asas, bibir dilayang pengilat bibir manakala mata disapu pembayang mata. Dengan tiga alat solek ini saja cukup membuatkan penampilan kelihatan memikat,” jelasnya.

SHARA mengenakan solekan nipis ketika keluar rumah.
SHARA mengenakan solekan nipis ketika keluar rumah.

Katanya lagi, bersolek bukan saja kala mahu keluar, tetapi perlu diamalkan ketika berada di rumah untuk tatapan suami. Supaya wajah tampak berseri, memadailah memakai bedak asas bersama pengilat bibir.

Memulakan langkah dalam dunia kecantikan sejak 1986, ketika dia bekerja di sebuah syarikat swasta di Selangor. Namun selepas empat tahun berkhidmat, dia mulai bosan dengan kerjaya disandang lalu menyatakan keinginan kepada suami untuk menceburi bidang kecantikan.

“Suami memberikan sokongan sepenuhnya dan menggalakkan saya mengambil kursus kecantikan. Bermula dengan kelas rawatan muka kemudian disambung kepada rawatan rambut.

“Akhirnya pada 2000, saya mengambil keputusan berhenti kerja dan membuka salun sendiri dengan nama Shara Hair & Beauty di Bangi dan beroperasi selama 11 tahun,” ceritanya.

Bagi menambah kemahiran diri Shara sekali lagi mengambil kursus urutan badan termasuk lulur kerana berhasrat menambah perkhidmatan spa di salunnya.

Hasilnya pada 2005, dia meluaskan lagi perniagaan dengan membuka spa di lokasi yang sama sehingga menambah tiga cawangan di beberapa lokasi sekitar Kajang dan Semenyih. Namun melihat anak yang semakin membesar, wanita ini terpaksa menutup satu persatu salun miliknya untuk memberi tumpuan kepada keluarga.

Hasil produk sendiri

Mempunyai minat yang tinggi dalam perniagaan, Shara tidak pernah melupakan keinginannya untuk berjaya dalam perniagaan. Hasilnya pada 2016, selepas anak besar dan pandai berdikari, dia mengambil keputusan menceburi bidang kecantikan sekali lagi tetapi dalam segmen berbeza iaitu menghasilkan produk sendiri.

“Cuma kali ini, saya memilih produk kosmetik bertujuan membantu wanita untuk kekal cantik. Oleh kerana ketika itu, produk kosmetik tempatan mula mendapat perhatian saya dan suami untuk mengambil peluang menghasilkan kosmetik jenama sendiri.

“Ia bermula dari satu kelas agama yang saya hadiri yang menceritakan mengenai kisah nabi. Salah satu cara memartabatkan wanita adalah melalui panggilan ‘Saidatina’ bermaksud ‘cik puan’. Sebab itulah saya menggunakan nama Sayyidati sebagai mengambil nama Saidatina,” katanya.

Kini dia mempunyai lima rangkaian produk iaitu bedak asas, gincu, bedak debu, serum dan semburan wajah.

“Terbaru kami juga melancarkan krim bibir dengan warna baharu kepada pelanggan. Semua produk selamat dari bahan terlarang dan mempunyai persijilan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 5:09 PM