DUA sepupu, Farahsuzie (kiri) dan Megawati hasilkan produk penjagaan wajah menggunakan bahan semula jadi premium.
DUA sepupu, Farahsuzie (kiri) dan Megawati hasilkan produk penjagaan wajah menggunakan bahan semula jadi premium.
Zaitie Satibi

Pelbagai cara digunakan sejak dahulu untuk mendapatkan kulit wajah cantik, mulus dan licin. Ini termasuk bermacam petua dan kaedah turun-temurun yang dijadikan amalan bagi mengekalkan kecantikan semula jadi.

Misalnya, pemakaian bedak sejuk bukan perkara asing bagi masyarakat Melayu kerana ia sudah diamalkan sejak zaman nenek moyang lagi. Bedak sejuk biasanya dihasilkan daripada beras yang direndam sehingga hancur, kemudian dicampur wangian semula jadi seperti daun pandan atau bunga melur kemudian dititik di atas daun pisang untuk dikeringkan.

Hingga ke hari ini, bedak sejuk yang diperbuat daripada beras masih ada di pasaran. Walaupun terpaksa bersaing dengan pelbagai jenama produk kecantikan moden, pemakaian bedak sejuk masih diamalkan kerana ia petua lama untuk membuatkan wajah bebas cela dan berseri.

Bagi dua bersaudara ini, mereka masih mempertahankan petua lama untuk menjaga kecantikan wajah, mereka bukan saja mengamalkan pemakaian bedak sejuk sejak usia remaja hingga kini, malah membuat evolusi bedak sejuk tradisi dengan menghasilkannya daripada tanah liat putih, serbuk mutiara dan serbuk arang.

Bedak sejuk ciptaan Megawati Ismail, 43, dan Farahsuzie Suleiman, 37, awalnya dihasilkan untuk kegunaan sendiri sebelum bedak sejuk berasaskan tanah liat itu dikomersilkan di bawah jenama Puspawangi selepas mendapat permintaan rakan yang kagum dengan kecantikan kulit wajah mereka.

Menurut Megawati, beliau sememangnya alah dengan produk moden yang mengandungi banyak bahan kimia memaksanya menghasilkan produk kecantikan dan kosmetik sendiri seperti sabun mandi, syampu, pelembap wajah dan bibir serta minyak wangi.

“Kulit saya sensitif, jadi saya mengamalkan banyak petua lama untuk menjaga kecantikan disebabkan tidak boleh memakai produk moden. Saya memanfaatkan petua pembuatan bedak sejuk diturunkan arwah nenek yang begitu menitikberatkan penjagaan kecantikan wanita.

“Arwah nenek dahulu sering berleter mengingatkan kami menjaga kecantikan menggunakan bahan semula jadi sejak remaja. Malah, kami akan dimarahi jika ingkar dengan arahannya untuk memakai bedak sejuk setiap hari. Ketegasan arwah nenek membuahkan hasil apabila amalan kecantikan itu membantu mengekalkan keremajaan kulit wajah walaupun usia meningkat,” katanya.

PENGASAS bedak sejuk berasaskan tanah liat dan serbuk mutiara, Farahsuzie (kiri) dan Megawati.
PENGASAS bedak sejuk berasaskan tanah liat dan serbuk mutiara, Farahsuzie (kiri) dan Megawati.

Megawati berkata, beliau dan Farahsuzie turut mengikuti kelas untuk menghasilkan produk buatan sendiri bagi memantapkan kemahiran dan menambah pengetahuan mereka mengenai kegunaan pelbagai bahan semula jadi dalam amalan penjagaan kecantikan.

“Ilham membuat bedak sejuk berasaskan tanah liat timbul selepas mendapati tanah liat juga mempunyai banyak manfaat untuk penjagaan kulit. Bagi mendapatkan hasil lebih baik, kami menggunakan tanah liat putih dikenali sebagai kaolin.

“Kaolin adalah jenis tanah liat yang bertindak lembut dan sesuai digunakan ke atas semua jenis kulit termasuk kulit sensitif. Ia banyak digunakan secara tradisional untuk penjagaan pelbagai jenis kulit dan antara bahan aktif dalam kebanyakan rangkaian penjagaan kulit dan wajah.

“Tanah liat ini juga bertindak sebagai agen pengelupasan dan pembersihan. Kandungan silika yang tinggi membantu menyingkirkan sel kulit yang mati, manakala sel kulit baru tumbuh dengan baik,” katanya.

Kehadiran mineral unik dalam kaolin turut membantu membuang kotoran pori-pori, menyingkirkan toksin dan minyak berlebihan, menyuburkan kulit, mengurangkan garis halus dan kedutan.

Serbuk mutiara ditambah untuk mencerahkan ton kulit, mengurangkan saiz pori-pori dan memperbaiki tekstur kulit, manakala serbuk arang untuk membersihkan pori-pori tersumbat, menyerap minyak dan melawan akne. Selain itu, minyak pati lavender dan tea tree serta ekstrak aloe vera turut ditambah dan disatukan bersama air suling untuk kesan yang lebih baik.

“Kami menggunakan bahan semula jadi yang berkualiti premium kerana mahu hasilkan bedak sejuk dalam bentuk baru dan memastikan pelanggan mendapat penjagaan wajah yang terbaik. Ia mengandungi bahan semula jadi sepenuhnya dan tiada kesan sampingan yang membuatkannya sesuai digunakan semua golongan termasuk kanak-kanak.

“Bedak sejuk ini boleh digunakan bagi membantu merawat kesan lecur terkena objek panas, selaran matahari, malah ia juga sesuai untuk budak kecil yang mengalami ruam.

“Kami mula memasarkan bedak sejuk ini sejak awal tahun secara dalam talian dengan menggunakan Facebook sebagai medium utama. Walaupun penggunaan bedak sejuk kurang diamalkan oleh generasi muda masa kini, tetapi bedak sejuk Puspawangi mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai,” katanya.

Bagi meluaskan pasaran, kedua-dua sepupu itu berhasrat melantik ejen atau pengedar yang berminat untuk memasarkan bedak sejuk berkenaan ke seluruh negara

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 1:03 PM