DENIS Yefremov ketika menyertai misi terjun dengan payung terjun dari stratosfera ke Kutub Utara, minggu lalu. FOTO Reuters
DENIS Yefremov ketika menyertai misi terjun dengan payung terjun dari stratosfera ke Kutub Utara, minggu lalu. FOTO Reuters
Reuters

Moscow: Tiga warga Rusia mencipta rekod dunia apabila melakukan terjunan dengan payung terjun dari stratosfera ke Kutub Utara, minggu lalu.

Stratosfera adalah lapisan atmosfera bumi yang terletak di antara 10 hingga 50 kilometer di atas permukaan bumi.

Penganjur aktiviti itu berkata, ia adalah misi yang juga berfungsi sebagai ujian prototaip sistem komunikasi baharu untuk digunakan di Artik.

Mikhail Korniyenko, Alexander Lynnik dan Denis Yefremov melakukan terjunan dari pesawat Ilyushin-76 pada ketinggian 10,500 meter (m).

Ketiga-tiganya terjun bebas kira-kira dua setengah minit sebelum membuka payung terjun mereka apabila berada pada ketinggian kira-kira 1,000 m.

Aksi itu dirakamkan dalam video yang menakjubkan.

Ketiga-tiga mereka mengalami sedikit (frostbite) luka beku di pipi, walaupun memakai topeng yang dipanaskan, kata penganjur, Nikita Tsaplin.

Ketika mereka menjunam pada kelajuan lebih 300 kilometer/ sejam, suhu udara di sekitar adalah -50 Celsius, tetapi terasa seperti -70 Celsius.

Ketiga-tiganya mendarat berhampiran pangkalan kutub Barneo milik Rusia, di mana Tsaplin berkata, mereka dapat menghidupkan pelayan menggunakan penjana diesel dan mewujudkan sambungan ke satelit.

Peralatan itu dijatuhkan lebih awal dari altitud yang lebih rendah.

Komunikasi di Artik berkemungkinan lebih penting kerana negara-negara termasuk Rusia, Amerika Syarikat dan China bersaing di sana untuk mendapatkan sumber, laluan perdagangan dan kelebihan ketenteraan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 12:26 PM