AFP

London: Pegawai polis menahan seorang lelaki yang memandu kereta dan merempuh pintu pagar Istana Buckingham di sini, Sabtu lalu.

Polis Metropolitan memaklumkan, kereta itu berlanggar dengan pintu pagar istana itu pada jam 2.30 petang waktu tempatan.

Pegawai bersenjata menahan lelaki itu di tempat kejadian kerana disyaki melakukan kerosakan sebelum dia dibawa ke hospital, kata jurucakap pasukan itu.

Menurut jurucakap itu, tiada siapa yang cedera susulan insiden berkenaan.

ISTANA Buckingham, London. FOTO fail Reuters
ISTANA Buckingham, London. FOTO fail Reuters

Tambahnya, siasatan lanjut dijalankan untuk menentukan punca kejadian.

Langkah keselamatan di Istana Buckingham yang juga kediaman rasmi keluarga diraja Britain, adalah ketat, dengan bangunan di tengah ibu kota itu sentiasa dipantau oleh pegawai bersenjata.

Menurut rekod, kawasan istana itu pernah menjadi sasaran cubaan pecah masuk sebelum ini.

Pada September tahun lalu, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan selepas cuba memasuki kandang kuda di istana itu.

Menjelang pertabalan Raja Charles III pada tahun lalu, seorang lelaki ditangkap kerana membaling kartrij senapang patah ke dalam kawasan Istana Buckingham.

Pada bulan sama, seorang lelaki berusia 43 tahun ditangkap kerana merempuh keretanya ke pagar kawalan Downing Street iaitu kediaman Perdana Menteri Britain Rishi Sunak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 11:57 AM