RECEP Tayyip Erdogan. FOTO fail AFP
RECEP Tayyip Erdogan. FOTO fail AFP
BERNAMA

Vilnius (Lithuania): Turkiye setuju untuk memajukan penyertaan Sweden ke dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) pada Isnin, sehari sebelum sidang kemuncak perikatan itu di ibu negara Lithuania, umum Setiausaha Agung Nato Jens Stoltenberg.

Stoltenberg berkata, pada sidang media selepas pertemuan tiga pihak dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Sweden Ulf Kristersson bahawa Turkiye bersetuju untuk memajukan protokol penyertaan Sweden ke Parlimen secepat mungkin dan memastikan pengesahannya, lapor Xinhua.

Proses penyertaan Nato memerlukan persetujuan semua negara anggota. Sweden dan Finland memohon untuk menyertai perikatan itu tahun lalu, tetapi berdepan bantahan daripada Turkiye, yang mendakwa kedua-dua negara itu melindungi anggota Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan dan pergerakan Gulen.

Turkiye menarik balik bantahannya terhadap penyertaan Finland sebagai ahli Nato, awal tahun ini, selepas Helsinki mengambil "langkah konkrit" terhadap organisasi itu.

Pada April, Finland menjadi negara anggota ke-31 Nato. Bagaimanapun, Ankara terus menyekat bidaan Sweden untuk menjadi ahli Nato.

Terdahulu sebelum berlepas ke Vilnius pada Isnin, Erdogan berkata, negaranya akan menyokong Sweden menyertai Nato jika Kesatuan Eropah (EU) menghidupkan semula rundingan keanggotaan dengan Ankara, satu langkah tidak dijangka yang didakwa beberapa media akan "menggegarkan perpaduan perikatan."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 3:38 PM