FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

London: Sekumpulan doktor hospital di England melakukan mogok 72 jam pada Rabu susulan ketidakpuashatian mereka berkaitan isu gaji.

Ia membabitkan doktor junior bermula jam 7 pagi Rabu sehingga Sabtu.

Jawatankuasa Doktor Muda Persatuan Perubatan British (BMA) berkata, puncanya adalah kerana pemotongan gaji sebanyak 26 peratus dalam tempoh tempoh 15 tahun lalu.

Dalam tuntutan itu, mereka mendesak gaji dikembalikan ke tahap 2008 hingga 2009 tetapi kerajaan menyatakan ia bermakna kenaikan gaji purata kira-kira 35 peratus tahun ini, dan ia terlalu besar.

Mogok terbaharu dalam Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS) yang dibiayai kerajaan, turut menyaksikan jururawat dan kakitangan perubatan lain menerima kenaikan gaji.

BMA memberi amaran walaupun ia terbuka untuk perbincangan lanjut, namun akan melancarkan lagi mogok dalam beberapa bulan akan datang, jika kerajaan mengekalkan tawaran lima peratusnya.

Pada Selasa, pengarah perubatan nasional NHS England, Stephen Powis, memberi amaran bahawa kebanyakan penjagaan rutin atau prarancangan boleh terjejas.

"Ia (mogok) akan memberi impak yang besar terhadap penjagaan rutin untuk pesakit dan dalam senarai menunggu, kerana prosedur boleh mengambil masa untuk disusun semula dengan pelbagai pasukan terbabit," katanya.

Keutamaan akan diberikan kepada penjagaan kecemasan, segera dan kritikal, tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 11:35 AM