ANTARA doktor yang menyertai Hartal Doktor Kontrak.
ANTARA doktor yang menyertai Hartal Doktor Kontrak.
Raja Noraina Raja Rahim


Serdang: Memberontak tapi utamakan pesakit.

Demikian antara perkataan ditulis pada bahagian belakang pakaian perlindungan diri (PPE) sekumpulan pegawai perubatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini.

Ia dilakukan sebagai tanda sokongan kepada gerakan Hartal Doktor Kontrak yang dilakukan di seluruh negara hari ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati, pegawai perubatan terbabit menjalankan tugas dan melayani pesakit yang menerima rawatan di PKRC berkenaan seperti biasa sebelum dilihat keluar dari dewan kira-kira jam 11 pagi.

Bagaimanapun, petugas media dihalang untuk membuat liputan sebelum pegawai perubatan terbabit dikatakan dipanggil untuk menghadiri pertemuan tertutup bersama pihak atasan.

Selain PKRC Maeps, sokongan sama turut dinyatakan oleh ribuan pegawai perubatan di beberapa hospital seluruh negara termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Sungai Buloh, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Selangor.

Sebelum ini, Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr Umar Baraka dalam sidang media secara maya pada Sabtu berkata, rancangan mogok doktor kontrak akan diteruskan di beberapa fasiliti kesihatan awam di seluruh negara, berikutan kerajaan didakwa gagal memenuhi tuntutan dikemukakan.

Beliau dipetik berkata, pihaknya menuntut supaya 23,000 pegawai perubatan kontrak dilantik secara tetap dan memohon penjelasan terperinci mengenai kriteria pelantikan tetap.

"Oleh itu, kami tiada pilihan lain selain meneruskan hartal (mogok) di beberapa fasiliti kesihatan awam antaranya Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Selangor.

"Kami akan masuk bekerja seperti biasa pada hari itu cuma pada jam 11 pagi, kami akan serahkan tugas kepada pegawai perubatan tetap dan keluar beramai-ramai dari fasiliti kesihatan.

"Namun pesakit masih menjadi keutamaan. Mereka yang bertugas di unit rawatan rapi (ICU) digalakkan untuk kembali bekerja selepas itu," katanya.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah amat berharap rancangan hartal doktor kontrak tidak mengganggu operasi.

Beliau mengharapkan semua doktor bertanggungjawab dan beretika kepada pesakit mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 1:55 PM