SEKUMPULAN doktor  berpiket di luar Hospital St Thomas, London, semalam.
SEKUMPULAN doktor berpiket di luar Hospital St Thomas, London, semalam.

London: Ribuan doktor muda di seluruh England mogok sekali lagi semalam selepas rundingan kontrak mereka menemui jalan buntu.

Doktor terbabit hanya akan menyediakan rawatan perubatan kecemasan sepanjang tempoh mogok 24 jam itu yang bermula pagi semalam.

Ia kali kedua mereka melancarkan mogok tahun ini dengan kejadian pertama, bulan lalu, mogok pertama dilancarkan dalam tempoh 40 tahun.

Mogok itu dilakukan berikutan pertelingkahan kontrak yang berkait dengan bayaran dan persekitaran kerja antara kerajaan dengan Persatuan Perubatan Britain.

Antara isu utama pertelingkahan membabitkan bayaran bagi syif hujung minggu, selain sama ada Sabtu patut dianggap sebagai hari bekerja biasa.

Pegawai Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) berkata, beberapa ribu prosedur perubatan terpaksa dibatalkan dan lebih banyak dijangka terjejas.

Pengarah insiden kebangsaan NHS England Dr Anne Rainsberry berkata, badan itu berusaha mengurangkan kesan mogok berkenaan.

Katanya, mogok itu akan mengakibatkan penangguhan rawatan ribuan pesakit dalam keadaan pekerja kesihatan sudah cukup tertekan dengan bilangan kes yang banyak.

Doktor muda adalah golongan yang masih dalam latihan dan boleh mempunyai pengalaman sehingga 10 tahun. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 8:26 AM