GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berharap rancangan hartal (mogok) doktor kontrak di beberapa fasiliti kesihatan awam seluruh negara esok tidak mengganggu operasi.

Beliau mengharapkan semua doktor bertanggungjawab dan beretika kepada pesakit mereka.

Berkenaan desakan untuk jawatan tetap bagi doktor kontrak, katanya, masalah itu berlaku sejak kerajaan terdahulu.

"Untuk kita tawarkan jawatan tetap EPF (dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) adalah satu jalan penyelesaian dipersetujui semua.

"Tetapi sebelum dapat dilaksanakan, kena pinda Akta Perkhidmatan Awam. Tempoh masa dua tahun untuk jalankan pindaan dan seterusnya tawar tetap dan EPF," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Beliau mengulas laporan mengenai rancangan mogok doktor kontrak akan diteruskan esok di beberapa fasiliti kesihatan awam di seluruh negara, berikutan kerajaan didakwa gagal memenuhi tuntutan dikemukakan.

Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr Umar Baraka berkata, kerajaan hanya menawarkan lanjutan kontrak untuk tempoh dua hingga empat tahun dan ia tidak memenuhi tuntutan dalam Memorandum Hartal Doktor Kontrak.

Menurutnya, pihaknya menuntut supaya 23,000 pegawai perubatan kontrak dilantik secara tetap dan memohon penjelasan terperinci mengenai kriteria pelantikan tetap.

"Oleh itu, kami tiada pilihan lain selain meneruskan hartal (mogok) di beberapa fasiliti kesihatan awam antaranya Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Selangor.

"Kami akan masuk bekerja seperti biasa pada hari itu cuma pada jam 11 pagi, kami akan serahkan tugas kepada pegawai perubatan tetap dan keluar beramai-ramai dari fasiliti kesihatan.

"Namun pesakit masih menjadi keutamaan. Mereka yang bertugas di unit rawatan rapi (ICU) digalakkan untuk kembali bekerja selepas itu," katanya dalam sidang media secara maya, semalam.

Sementara itu, jurucakap hartal doktor kontrak Hospital Serdang yang enggan dikenali berkata, pada 10.30 pagi pihaknya akan menyerahkan perkara penting kepada pegawai perubatan untuk memastikan tiada pesakit terjejas rawatan.

Kemudian katanya, jam 11 pagi mereka yang terbabit dalam hartal termasuk doktor pakar tetap yang memberi sokongan kepada doktor kontrak akan berarak ke lobi Hospital Serdang bersama sepanduk.

"Doktor yang terbabit hartal adalah daripada pelbagai disiplin di seluruh hospital ini. Tiada bilangan yang pasti tetapi kami berhubung melalui group Telegram kini lebih 120 ahli," katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan memaklumkan Kabinet bersetuju supaya Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan mengikuti pengajian kepakaran.

Beliau dilaporkan berkata, Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 6:55 PM