Pusat Pentadbiran Metropolitan (BMA) mendirikan empat hospital lapangan dengan 1,250 katil, termasuk sebuah hospital yang boleh memuatkan 400 katil di daerah Nong Chok. FOTO BERNAMA
Pusat Pentadbiran Metropolitan (BMA) mendirikan empat hospital lapangan dengan 1,250 katil, termasuk sebuah hospital yang boleh memuatkan 400 katil di daerah Nong Chok. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Bangkok: Gelombang baharu jangkitan Covid-19 melanda seluruh Thailand, dengan 1,390 kes baharu dan tiga kematian dilaporkan sejak semalam, mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlaku masalah kekurangan katil hospital.

Pada Ahad, kes Covid-19 mencapai rekod tertinggi dengan 1,767 kes baharu, menjadikan jumlah jangkitan terkini sebanyak 43,742 dengan 104 kematian, hari kelima berturut-turut Thailand mencatatkan lebih 1,000 kes dalam sehari.

Sebelum gelombang kedua muncul pada Disember, Thailand berjaya mengawal Covid-19 dengan jumlah kes baharu yang masih relatif rendah dengan hanya lebih 4,000 jangkitan dan 60 kematian.

Namun, penularan terbaru yang bermula di pusat hiburan di Bangkok merebak dengan cepat ke semua 77 wilayah, mengakibatkan 14,879 kes positif dicatatkan dan 10 kematian hanya dalam masa 19 hari, sejak 1 April.

Peningkatan ketara jangkitan menimbulkan kebimbangan berlakunya kekurangan katil memandangkan pihak kerajaan mahu semua pesakit Covid-19 dimasukkan dan dirawat di hospital untuk mengurangkan penularan.

Media tempatan melaporkan ramai pesakit masih menunggu katil apabila hospital swasta tidak dapat menampung keperluan.

Bagi mengatasi beban lonjakan kes Covid-19, kerajaan mengarahkan pihak berwajib menyediakan 25,000 katil tambahan di pusat-pusat komuniti dan gimnasium, serta arena sukan di seluruh negara.

Hotel dan hospital juga bekerjasama untuk menubuhkan "hospitels" bagi merawat pesakit tanpa gejala.

Kementerian Pengajian Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi menggesa universiti dan institusi pendidikan untuk menubuhkan hospital lapangan.

Di Bangkok, Pusat Pentadbiran Metropolitan (BMA) mendirikan empat hospital lapangan dengan 1,250 katil, termasuk sebuah hospital yang boleh memuatkan 400 katil di daerah Nong Chok untuk pesakit tanpa gejala yang dijadual mula beroperasi hari ini.

Bernama yang melawat hospital lapangan di daerah Nong Chok itu pada Ahad menyaksikan pekerja bertungkus-lumus membuat persiapan terakhir untuk pembukaan.

Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang menegaskan katil hospital di bandar itu mencukupi untuk menerima pesakit Covid-19.

Beliau berkata kira-kira 6,000 katil termasuk di hospital lapangan (dibina tentera) disediakan di bawah bidang kuasa BMA.

"Kali ini wabak merebak dengan pantas. Kami berharap langkah sekatan terbaharu termasuk penutupan institusi pendidikan dan pusat hiburan selama dua minggu dapat membantu mengawal penularannya di Bangkok," katanya.

Kementerian Kesihatan Awam mempertimbangkan untuk membenarkan pesakit Covid-19 yang tinggal sendirian menjalani rawatan di rumah masing-masing.

Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Perubatan sedang dalam proses menyusun buku panduan rawatan kendiri untuk pesakit Covid-19. Buku panduan tersebut disediakan untuk pesakit tanpa gejala yang menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perubatan BMA Suksan Kittisupakorn berkata kakitangan perubatan kian terbeban berikutan peningkatan jangkitan di Bangkok.

"Kami sedang berperang melawan Covid-19. Meskipun menghadapi pelbagai cabaran dan kekangan, kami berusaha sebaik mungkin untuk memberikan penjagaan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat.

"Perjuangan melawan Covid-19 masih berterusan," katanya kepada Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 6:42 PM