FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Reuters

Brussels: Dua institusi pembuat dasar terbesar Kesatuan Eropah mengharamkan TikTok daripada telefon kakitangan mereka atas alasan keselamatan siber menandakan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai aplikasi perkongsian video pendek China dan data penggunanya.

TikTok, yang dimiliki oleh firma berpangkalan di China, ByteDance, berada di bawah pengawasan kerajaan dan pengawal selia kerana kebimbangan kerajaan China boleh menggunakan aplikasinya untuk mengumpul data pengguna atau memajukan kepentingannya.

Ketua industri Kesatuan Eropah (EU) Thierry Breton, yang mengumumkan larangan oleh Suruhanjaya Eropah, enggan menyatakan sama ada suruhanjaya itu mempunyai sebarang insiden yang membabitkan TikTok.

Seorang pegawai juga berkata, pada Khamis, kakitangan di Majlis EU, yang mengumpulkan wakil negara anggota untuk menetapkan keutamaan dasar, juga perlu menyahpasang TikTok daripada telefon peribadi mereka dengan akses kepada perkhidmatan Majlis EU.

Menjawab pengumuman itu, Tiktok berkata, mereka kecewa dan terkejut suruhanjaya tidak menghubungi sebelum memulakan larangan itu.

Senat Amerika Syarikat (AS) pada Disember lalu meluluskan rang undang-undang untuk menghalang pekerja persekutuan daripada menggunakan TikTok pada peranti milik kerajaan.

TikTok juga diharamkan di India.

Suruhanjaya eksekutif EU dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu akan digunakan untuk telefon dan peranti kerja serta peribadi.

"Untuk meningkatkan keselamatan sibernya, Lembaga Pengurusan Korporat Suruhanjaya memutuskan untuk menggantung penggunaan aplikasi TikTok pada peranti korporat dan peribadi yang didaftarkan dalam perkhidmatan peranti mudah alih suruhanjaya.

"Langkah ini bertujuan untuk melindungi suruhanjaya daripada ancaman dan tindakan keselamatan siber yang mungkin dieksploitasi untuk serangan siber terhadap persekitaran korporat suruhanjaya," katanya dalam satu kenyataan.

Jurucakap TikTok berkata, mereka tidak dihubungi secara langsung oleh suruhanjaya, atau menawarkan sebarang penjelasan untuk keputusan itu.

"Kami percaya penggantungan ini adalah salah dan berdasarkan salah tanggapan asas. Kami menghubungi suruhanjaya untuk menjelaskan cara kami melindungi data 125 juta orang di seluruh EU yang melayari TikTok setiap bulan," kata jurucakap itu.

Parlimen Eropah berkata, mereka menyedari tindakan Suruhanjaya itu dan berhubung dengannya.

"Perkhidmatan berkaitan juga memantau dan menilai semua kemungkinan pelanggaran data yang berkaitan dengan aplikasi dan akan mempertimbangkan penilaian Suruhanjaya Eropah sebelum merumuskan cadangan kepada pihak berkuasa Parlimen Eropah," kata seorang jurucakap.

Suruhanjaya berkata, perkembangan keselamatan di platform media sosial lain juga akan sentiasa dikaji semula.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 3:06 PM