APLIKASI Tiktok dilihat pada iPhone di Ottawa, Ontario, Kanada. FOTO AP
APLIKASI Tiktok dilihat pada iPhone di Ottawa, Ontario, Kanada. FOTO AP
AP

Toronto: Kanada pada Isnin mengumumkan larangan penggunaan TikTok daripada semua peranti mudah alih keluaran kerajaan sebagai tanda kebimbangan yang semakin meluas daripada pegawai Barat terhadap aplikasi perkongsian video milik China itu.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata, ia mungkin langkah pertama untuk tindakan selanjutnya.

"Saya beranggapan apabila kerajaan mengambil langkah penting untuk memberitahu semua penjawat awam yang mereka tidak lagi boleh menggunakan TikTok pada telefon kerja, ramai orang Kanada dari perniagaan hingga individu persendirian akan memikirkan keselamatan data mereka sendiri dan mungkin membuat pilihan.

"Saya sentiasa suka memberi maklumat kepada rakyat Kanada untuk mereka membuat keputusan yang tepat," kata Trudeau.

Cawangan eksekutif Kesatuan Eropah (EU) memaklumkan sudah ada larangan sementara penggunaan TikTok daripada telefon yang digunakan oleh kakitangan sebagai langkah keselamatan siber pada minggu lalu.

Tindakan EU mengikuti langkah serupa di Amerika Syarikat (AS) dengan lebih separuh daripada negeri dan kongres sudah mengharamkan TikTok daripada peranti rasmi kerajaan.

Minggu lalu, badan pemantau privasi persekutuan Kanada dan rakan sejawat wilayahnya di British Columbia, Alberta dan Quebec mengumumkan penyiasatan untuk menyelidik sama ada aplikasi itu mematuhi perundangan privasi Kanada.

TikTok dimiliki oleh ByteDance, sebuah syarikat China yang memindahkan ibu pejabatnya ke Singapura pada 2020.

Aplikasi itu sangat popular dalam kalangan orang muda tetapi pemilikan China menimbulkan kebimbangan yang Beijing boleh menggunakannya untuk mengumpul data mengenai pengguna Barat atau menolak naratif dan maklumat salah yang pro-China.

TikTok menghadapi penelitian yang lebih intensif dari Eropah dan AS mengenai keselamatan dan privasi data di tengah-tengah kebimbangan bahawa aplikasi itu boleh digunakan untuk mempromosikan pandangan pro-Beijing atau mengumpul maklumat pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 9:37 AM