FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Syah Rul Aswari Abdullah

Jika TikTok - seperti mana-mana aplikasi di telefon bimbit anda - boleh mengumpul data pengguna, apa yang menyebabkan Amerika Syarikat (AS) beria-ia untuk mengharamkan penggunaan aplikasi itu di negara berkenaan.

Isu ini dilihat begitu serius apabila Ketua Pegawai Eksekutif TikTok Shou Zi Chew tampil di depan jawatankuasa Kongres AS pada 23 Mac lalu. Selama lima jam, CEO berusia 40 tahun ini mendengar dan menjawab pelbagai persoalan dibangkitkan penggubal undang-undang AS terutamanya mengenai dakwaan kaitan TikTok dengan Kerajaan China dan berhubung kawal selia kandungan media sosial itu.

Ini pertama kali AS dilihat benar-benar serius untuk mengharamkan TikTok di negara itu. Ia selepas beberapa cadangan untuk mengharamkan aplikasi itu ketika pentadbiran Donald Trump tidak berakhir dengan keputusan yang tidak konkrit.

Secara amnya, AS bimbang mengenai data pengguna ini yang akan diperoleh oleh Kerajaan China. Menurut AS, data ini adalah memberikan risiko terhadap keselamatan negara kerana ia boleh digunakan untuk mengintip rakyat AS. Selain itu, kandungan media sosial ini dengan mudah dapat menyebarkan propaganda.

AS ketika ini sudah mengharamkan TikTok pada peranti milik kerajaan. Usaha sama sudah diambil oleh United Kingdom, Kanada dan Kesatuan Eropah. India juga sudah lama mengharamkan aplikasi ini pada 2020.

TikTok bagaimanapun menegaskan bahawa ia beroperasi sama seperti syarikat media sosial lain. Ia juga menegaskan tidak pernah mengikuti arahan untuk menyerahkan data kepada pegawai kerajaan China.

Persoalan di sini, benarkah TikTok menjadi alat pengintip dan adakah media sosial ini membocorkan maklumat pengguna? Isu ini sebenarnya pernah dikaji oleh akhbar terkemuka AS iaitu Washington Post pada 2020. Akhbar itu mengadakan siasatan dengan menggunakan khidmat penyelidik privasi bagi mengetahui kebenaran dakwaan TikTok adalah alat pengintip.

Namun, rumusan hasil siasatan itu menunjukkan TikTok mengumpul jumlah data sama seperti media sosial lain dalam telefon bimbit anda. Ia sama seperti apa dilakukan Facebook, Instagram dan Twitter.

Pada tahun berikutnya, Pellaeon Lin - penyelidik berpangkalan di Taiwan - daripada Citizen Lab, Universiti Toronto, AS, melakukan analisis teknikal, juga membuat kesimpulan yang sama.

Namun, menurut CNN, walaupun TikTok mengumpul jumlah data sama seperti Facebook atau Twitter, ia masih membabitkan jumlah data yang besar. Ini termasuk jumlah video yang ditonton, komen ditulis, mesej peribadi yang anda hantar dan jika anda bersetuju memberikan akses, Tiktok boleh mengetahui lokasi anda dan senarai 'contact' dalam telefon bimbit anda.

TikTok pula menerusi dasar privasinya secara terbuka mengingatkan pengguna bahawa ia mengumpul alamat e-mel, nombor telefon, umur, carian dan sejarah carian, di samping maklumat mengenai apa di dalam foto dan video yang anda muat naik di aplikasi itu. Selain itu, jika anda bersetuju, ia boleh mengakses kandungan pada clipboard telefon bimbit untuk memudahkan anda salin dan tampil maklumat berkenaan terus pada Tiktok.

Apa yang menariknya, analisis Lin turut menyatakan bahawa kod sumber (source code) TikTok adalah sama seperti aplikasinya di China yang dikenali sebagai Douyin. Ini bermaksud kedua-dua aplikasi dibangunkan menerusi kod sumber yang sama dan disesuaikan dengan pasaran masing-masing.

Secara teorinya, TikTok mungkin mempunyai 'ciri tersembunyi yang melanggar dasar privasi' yang boleh berfungsi atau tidak berfungsi dengan hanya mengubah kod sumber dan ini tidak diketahui pengguna. Namun, ada batasan tertentu menyebabkan Lin tidak dapat membuktikan sama ada konfigurasi atau ciri ini wujud dalam TikTok.

Satu lagi perkara yang dinyatakan menerusi analisis Lin adalah pihaknya tidak melihat aplikasi ini menunjukkan ciri-ciri seperti malware (perisian hasad).

Isu lain dihadapi TikTok adalah dakwaan in-app browser aplikasi ini mengetahui apa yang ditaip menerusi papan kekunci. Ia dikenali sebagai keylogging dan dikatakan memberikan risiko keselamatan.

Menurut CNN, Felix Krause iaitu seorang penyelidik privasi yang melakukan analisis pada tahun lalu menyatakan bahawa keylogging bukanlah aktiviti berniat jahat, tetapi ia bermakna TikTok boleh data sensitif lain yang pengguna boleh kemukakan setiap kali seseorang melayari laman web lain daripada laman TikTok. Namun, perlu ditegaskan di sini, tiada bukti awam bahawa TikTok melakukan perkara itu.

TikTok sebaliknya menyatakan fungsi keylogging adalah untuk debugging, troubleshooting dan pemantauan prestasi. Selain itu, ia berfungsi untuk mengesan bots dan spam. Satu juga perkara yang perlu diambil kira adalah keylogging ini adalah perkara biasa dalam teknologi industri.

Seperkara lagi yang menarik perhatian adalah beberapa kajian menunjukkan bahawa TikTok dapat mengesan lokasi pengguna biarpun mereka tidak menggunakan aplikasi ini. Bagaimanapun, ini juga bukan perkara baharu memandangkan gergasi media sosial lain seperti Facebook dan Google juga melakukan perkara sama. Menurut TikTok, cara ini digunakan untuk meningkatkan pengiklanan.

Apa yang boleh dirumuskan, TikTok mungkin mengumpul jumlah data yang besar, dengan sebahagian besarnya dilakukan secara senyap-senyap. Tetapi sebenarnya, perkara sama sudah lama dilakukan oleh mana-mana gergasi teknologi utama menerusi mana-mana aplikasi yang digunakan dalam telefon bimbit anda. Bezanya hanya satu, aplikasi lain itu bukanlah buatan China.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 6:43 PM