MANGSA gempa bumi mengambil barangan yang masih boleh digunakan setelah keadaan reda dan selamat di Nurdagi. FOTO Bernama.
MANGSA gempa bumi mengambil barangan yang masih boleh digunakan setelah keadaan reda dan selamat di Nurdagi. FOTO Bernama.
BERNAMA

Gaziantep (Turkiye): Enggan orang lain turut merasai bagaimana peritnya kehilangan orang tersayang, seorang lelaki berusia 52 tahun nekad menyelamatkan seramai mungkin mangsa dari sebuah bangunan yang runtuh dalam bencana gempa bumi pada 6 Februari lalu di Nurdagi.

Sambil mengawal perasaan sedihnya, Bayram Icue dan beberapa mangsa lain yang terselamat berjaya mengeluarkan kira-kira 20 orang dari kompleks pangsapuri tujuh tingkat yang didiami mereka dan terletak berhampiran Stadium Nurdagi.

Menceritakan kisahnya kepada Bernama dengan bantuan penterjemah tempatan Arif Ardag, Bayram berkata, ketika kejadian, beliau dan isterinya berlari ke tingkat bawah apabila sebahagian daripada bangunan itu tiba-tiba runtuh yang memisahkan beliau dengan isteri dan kedua-dua anak lelaki mereka.

"Selepas saya berjaya keluar dari runtuhan bangunan itu, saya dapat tahu isteri dan kedua-dua anak kami terkorban.

"Jadi, saya buat keputusan untuk selamatkan orang lain, saya tidak mahu mereka turut merasai keperitan apabila kehilangan orang tersayang seperti saya," katanya.

BAYRAM kehilangan isteri dan dua anak ketika gempa bumi yang mengakibatkan rumahnya runtuh. FOTO Bernama.
BAYRAM kehilangan isteri dan dua anak ketika gempa bumi yang mengakibatkan rumahnya runtuh. FOTO Bernama.

Bayram berkata, ia bukanlah satu keputusan yang mudah kerana beliau terlalu ingin mencari jasad isteri dan anak-anak mereka.

"Ia suatu dilema, yang mana satu harus saya dahulukan namun saya memilih untuk menyelamatkan mangsa yang masih hidup," katanya.

Bayram berkata, ketika gempa bumi kedua berlaku, gegarannya begitu kuat sehingga menyebabkan seluruh lantai bangunan jatuh di atas satu sama lain seperti lempeng dan pangsapuri itu hanya tinggal dua tingkat.

"Sesetengah mangsa yang saya selamatkan cedera parah, muka mereka bengkak teruk dan hampir tidak dikenali," katanya.

Beliau berkata bangunan pangsapuri itu memiliki 22 unit kediaman dan rumahnya berada di tingkat paling atas.

"Hampir 90 orang berada di dalam bangunan itu pada malam kejadian dan hanya segelintir yang terselamat. Selepas hampir 10 hari, rasanya hanya seorang lagi masih hilang serta terperangkap di bawah runtuhan.

"Isteri serta kedua-dua anak lelaki kami sudah dijumpai oleh anggota penyelamat tempatan dan saya sudah mengebumikan mereka dua hari lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 7:38 AM