BIRCE menerima rawatan di Hospital Bandar Adana. FOTO Anadolu Agency
BIRCE menerima rawatan di Hospital Bandar Adana. FOTO Anadolu Agency
Agensi

Adana, Turkiye: Pasukan perubatan yang merawat bayi berusia lapan bulan selepas terjatuh dari tingkat lima sebuah pangsapuri ketika gempa bumi melanda negara ini minggu lalu menyifatkan kelangsungan hidup bayi itu sebagai 'luar biasa'.

Anadolu Agency melaporkan, bayi itu, Birce Fansa jatuh dari tingkat lima pangsapuri itu dengan buaiannya sekali ketika gempa bumi melanda daerah Antakya di Hatay, Selatan Turkiye.

Ibu dan bapanya, Nilay dan Cengiz berjaya diselamatkan daripada runtuhan bangunan, masing-masing 13 dan 33 jam selepas gempa bumi berlaku, namun adik-beradiknya, Alin dan Nil, terbunuh dalam kejadian itu.

Bayi itu ditemukan penduduk di situ menangis sejurus kejadian gempa bumi itu berlaku dan dibawa ke Hospital Bandar Adana dengan ambulans, tanpa diketahui ibu bapanya yang masih terperangkap dalam runtuhan.

Dr Nursah Keskin yang merawat bayi itu di hospital, memberitahu pemberita bahawa Birce sangat bertuah.

"Kami memulakan rawatan untuk memulihkan pendarahan pada otak. Kakinya patah... perkara teruk yang boleh berlaku impak terhempap ke tanah (akibat jatuh dari tempat tinggi. Tuhan melindunginya, itu satu keajaiban," katanya.

Sementara itu, ibunya, Nilay berkata, pada mulanya dia tidak menyangka Birce masih hidup, tetapi kini dia cukup lega.

Selepas gempa bumi yang melanda daerah itu pada 6 Februari lalu, Nilay diselamatkan pasukan penyelamat bersama anak perempuannya, Nil, 4, selepas 13 jam terperangkap dalam runtuhan pangsapuri tujuh tingkat. Nil bagaimanapun terkorban dalam kejadian itu.

Tiga puluh tiga jam kemudian, suaminya, Cengiz berjaya diselamatkan, manakala mayat anak perempuannya, Alin, 2, ditemukan selepas empat hari bencana itu berlaku.

Sekurang-kurangnya 35,400 penduduk terbunuh susulan dua gempa bumi yang menggegarkan selatan Turkiye pada 6 Februari lalu dan Lebih daripada 13 juta penduduk.

Gegaran bermagnitud 7.7 dan 7.6 yang berpusat di Kahramanmaras, turut dan melanda sembilan wilayah lain - Hatay, Gaziantep, Adiyaman, Malatya, Adana, Diyarbakir, Kilis, Osmaniye, dan Sanliurfa.

Di negara jiran Syria, sekurang-kurangnya 3,688 terbunuh dan lebih 14,749 cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 1:06 PM