POLIS menahan kontraktor, Mehmet Yasar Coskun, di lapangan terbang di Istanbul. FOTO Agensi
POLIS menahan kontraktor, Mehmet Yasar Coskun, di lapangan terbang di Istanbul. FOTO Agensi
AFP

Istanbul: Polis Turkiye menahan seorang kontraktor yang cuba melarikan diri dari negara itu selepas sebuah bangunan runtuh dalam gempa bumi dahsyat di Turkiye.

Gegaran 7.8 magnitud dan gegaran susulan pada Isnin memusnahkan sebahagian besar tenggara Turkiye dan negara jiran Syria serta mengorbankan lebih 21,000 orang.

Gempa bumi itu 'meratakan' beribu-ribu bangunan dan mencetuskan kemarahan mangsa dan orang ramai di seluruh Turkiye atas kualiti perumahan yang kurang baik.

Ronesans Residence, sebuah blok rumah pangsa mewah bertingkat tinggi yang runtuh di bandar Antakya, wilayah Hatay, selatan Turkiye, mencetuskan kemarahan di media sosial.

Bekas pemain bola sepak antarabangsa Ghana, Christian Atsu dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan blok 12 tingkat bangunan yang dibina pada 2013 itu.

Pengarah sukan Kelab Hatayspor, Taner Savut juga terperangkap di bangunan sama, kata media tempatan.

Tarikh 2013 amat penting kerana Turkiye memperkenalkan peraturan bangunan yang lebih ketat selepas gempa bumi 1999 di barat laut Turkiye yang mengorbankan lebih 17,000 orang.

Polis menahan kontraktor, Mehmet Yasar Coskun, di lapangan terbang Istanbul ketika dia cuba melarikan diri ke Montenegro, kata agensi berita Anadolu.

Dia didakwa membawa sejumlah wang bersamanya tetapi agensi itu tidak memperincikan dengan tepat mengapa polis menahannya.

Media Turkiye melaporkan ramai mangsa masih di bawah runtuhan bangunan dan usaha menyelamat diteruskan di lokasi bencana.

Bangunan itu turut merosakkan orang lain apabila ia runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 10:31 AM