LELAKI berjalan melalui runtuhan bangunan di Kahramanmaras, Turkiye. FOTO Reuters
LELAKI berjalan melalui runtuhan bangunan di Kahramanmaras, Turkiye. FOTO Reuters
Agensi

Ankara: Ketika kemarahan rakyat memuncak atas usaha menyelamat dikatakan perlahan oleh Kerajaan Turkiye dengan angka kematian di negara itu melebihi 24,000 orang, pegawai kerajaan pada Sabtu, mula melakukan tindakan menahan ratusan kontraktor.

Kontraktor menjadi sasaran dipersalahkan kerana beberapa bangunan runtuh dalam gempa bumi dahsyat Isnin lalu itu, dikatakan dibina dengan tidak memenuhi keperluan untuk kawasan yang terdedah kepada gempa bumi besar.

Portal The New York Times melaporkan, lebih 100 kontraktor sudah ditahan di seluruh 10 wilayah yang terjejas oleh gempa bumi.

Agensi Berita Anadolu yang dikendalikan kerajaan melaporkan pada Sabtu bahawa Kementerian Kehakiman Turkiye juga mengarahkan pegawai di wilayah terjejas untuk menubuhkan Unit Siasatan Jenayah Gempa Bumi.

Arahan juga diberikan supaya pegawai yang berkenaan melantik pendakwa raya untuk membawa tuduhan jenayah terhadap semua 'jurubina dan mereka bertanggungjawab' bagi keruntuhan bangunan gagal memenuhi kod sedia ada, tindakan sama dilaksanakan selepas bencana serupa pada 1999.

Penangkapan itu adalah langkah pertama Turkiye untuk mengenal pasti dan menghukum orang yang mungkin menyumbang kepada kematian rakan senegara mereka dalam gempa bumi itu.

Rakyat sudah meluahkan kemarahan terhadap apa yang mereka pertikaikan sebagai pembina korup yang mengambil jalan pintas untuk meraih keuntungan berganda.

Di kejiranan Saraykint di Antakya, penduduk menunjukkan hasil kerja yang buruk di bangunan mewah 14 tingkat baru dibina dan di situ, kira-kira 90 pangsapuri runtuh.

"Ia dibina terlalu cepat. Konkrit itu seperti pasir," kata seorang lelaki yang enggan memberikan namanya, berdiri berhampiran bangunan itu sambil melihat penyelamat bekerja.

Antara mereka ditahan pada Sabtu ialah Mehmet Ertan Akay, pembina kompleks bangunan yang runtuh di bandar Gaziantep.

Pejabat pendakwa Gaziantep berkata, ia mengeluarkan perintah penahanan itu selepas memeriksa bukti yang dikumpul daripada runtuhan kompleks yang dibina syarikat pembinaan milik Mehmet.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 11:14 AM