GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
AP

Berlin: Gara-gara tidak tahan dengan bunyi bising daripada sebuah ventilator, seorang warga emas di Jerman mematikan alat bantuan pernafasan digunakan pesakit dalam wad hospital.

Insiden itu berlaku di sebuah hospital di bandar barat daya, Mannheim, petang Selasa lalu.

Pihak berkuasa Jerman berkata, wanita berusia 72 tahun itu ditahan selepas dipercayai melakukan perbuatan itu sebanyak dua kali.

Katanya, wanita itu dipenjarakan kerana disyaki cubaan membunuh kerana perbuatannya itu berisiko mengancam nyawa pesakit terbabit.

Polis dan pendakwa raya berkata dalam satu kenyataan, suspek didakwa mematikan alat pernafasan wanita berusia 79 tahun.

Walaupun kemudian diberitahu kakitangan alat itu amat penting untuk pesakit, namun suspek mematikannya semula pada sebelah petang.

Pesakit yang lebih berusia itu terpaksa dibangunkan semula dan walaupun nyawanya tidak dalam bahaya dia masih memerlukan rawatan rapi.

Susulan insiden itu, suspek dibicarakan di mahkamah sebelum dijatuhi hukuman penjara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 10:23 AM