PESAKIT dirawat di ICU lebih lama jika mengalami komplikasi yang menjejaskan fungsi organ.
PESAKIT dirawat di ICU lebih lama jika mengalami komplikasi yang menjejaskan fungsi organ.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

APABILA menyebut Unit Rawatan Rapi (ICU), pasti terbayang pesakit terlantar di atas katil dengan keadaan badan berselirat tiub dan wayar serta 'ditemani' mesin bantuan pernafasan.

Wad itu umpama rumah kedua kepada pesakit kritikal yang ada kalanya sehingga berbulan lamanya.

Petugas kesihatan terutama doktor dan pakar perubatan adalah individu penting yang bertungkus- lumus merawat pesakit sehingga stabil.

Tugas dipikul cukup berat. Selain memastikan pesakit berjaya melepasi fasa kritikal, mereka juga menjadi harapan keluarga pesakit yang menginginkan pesakit kembali pulih.

Pakar Klinikal Jabatan Anestesia dan Unit Rawatan Rapi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Nor Fadhilah Shahril berkata, secara amnya, terdapat dua kategori pesakit yang dirawat di ICU iaitu pesakit medikal dan pesakit surgikal.

"Pesakit medikal adalah mereka yang mengalami kegagalan organ jantung, paru-paru atau buah pinggang diakibatkan oleh penyakit seperti jangkitan kuman (sepsis) dan serangan jantung.

"Mereka yang memerlukan pembedahan kecemasan dan berada dalam keadaan kritikal atau mengalami komplikasi selepas pembedahan, dikategorikan sebagai pesakit surgikal yang memerlukan pemantauan di ICU.

"Kebiasaannya mereka (pesakit tidak stabil) diberikan rawatan seperti alat bantuan pernafasan, bantuan tekanan darah dan dialisis bagi menyokong fungsi organ seperti paru-paru, jantung serta buah pinggang" katanya.

Dr Nor Fadhilah berkata, jangka masa seseorang pesakit dirawat di ICU adalah bergantung kepada keadaan dan tahap kestabilan kesihatan mereka.

MESIN ventilator dipasangkan kepada pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan.
MESIN ventilator dipasangkan kepada pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan.

"Bagi pesakit yang mempunyai masalah kesihatan kronik, tetapi stabil dan terjaga, tempoh pemantauan serta rawatan di ICU adalah lebih pendek.

"Berbanding pesakit yang mempunyai komplikasi komorbid seperti kencing manis, darah tinggi, jantung, dan paru-paru kronik," katanya.

Kata Dr Nor Fadhilah, seseorang pesakit itu boleh berada di ICU untuk beberapa hari sehinggalah beberapa minggu, bergantung kepada tahap kestabilan penyakit dan keperluan rawatan sokongan yang berterusan.

"Malah, bagi mereka yang mengalami pelbagai komplikasi yang menjejaskan fungsi pelbagai organ, tempoh rawatan di ICU boleh menjangkau sebulan lamanya.

"Kami pernah merawat pesakit di ICU selama tiga bulan akibat jangkitan kuman berpanjangan disebabkan sistem imun badan yang lemah berpunca daripada penyakit dihidapinya," katanya.

Dr Nor Fadhilah berkata, PPUM memiliki beberapa jenis wad Unit Rawatan Rapi.

Antara Unit Rawatan Rapi yang tersedia di PPUM adalah wad ICU umum (General ICU) yang menerima pesakit medikal dan surgikal kritikal.

'Intermediate Dependency Care Unit' (IDCU) pula untuk merawat pesakit medikal separa kritikal.

Kata Dr Nor Fadhilah, wad ICU lain adalah ICU Neurosurgikal (Neurosurgical ICU), yang menempatkan pesakit kritikal selepas menjalani pembedahan otak atau mangsa kemalangan yang mengalami kecederaan otak.

"Seterusnya ialah wad ICU Kardiotorasik (Cardiothoracic ICU) yang memberi rawatan kepada pesakit selepas menjalani pembedahan jantung seperti pembedahan pintasan pembuluh darah koronari (coronary artery bypass grafting) dan pembedahan injap jantung.

"Wad Unit Penjagaan Koronari (Coronary Care Unit) pula dikhususkan untuk merawat pesakit yang mengalami serangan jantung.

"Wad Pediatric Intensive Care Unit (PICU) pula menyediakan penjagaan perubatan tahap tertinggi kepada kanak-kanak yang berada dalam keadaan kritikal.

"Terakhir ialah wad ICU Neonatal (Neonatal ICU) yang memberi rawatan kepada bayi selepas lahir yang mempunyai banyak masalah kesihatan," katanya.

Menyentuh rawatan di ICU, Dr Nor Fadhilah berkata, ia bergantung kepada keperluan pesakit.

Jelasnya, jika pesakit memerlukan bantuan pernafasan, mesin ventilator dipasangkan kepada pesakit untuk membolehkannya mendapat bekalan oksigen mencukupi hingga keadaannya stabil.

"Bantuan meningkatkan tekanan darah dan sokongan jantung, dialisis dan antibiotik turut diberikan kepada pesakit di ICU.

"Apabila keadaan pesakit memerlukan bantuan mesin pernafasan sudah stabil, kami akan mengurangkan jumlah pemberian ubat sedatif secara berperingkat supaya pesakit sedar dalam keadaan yang tenang.

"Selain itu, pesakit diberikan makanan melalui tiub nasogastrik yang dimasukkan daripada hidung ke dalam perut.

"Jumlah kalori akan dikira bagi mengelakkan pesakit terlebih atau terkurang dalam pengambilan kalori," katanya.

Dr Nor Fadhilah berkata, ada beberapa kriteria yang menjadi pengukur bagi membolehkan pesakit ICU dipindahkan ke wad biasa.

‘PEDIATRIC Intensive Care Unit’ (PICU), untuk penjagaan perubatan kepada kanak-kanak kritikal.
‘PEDIATRIC Intensive Care Unit’ (PICU), untuk penjagaan perubatan kepada kanak-kanak kritikal.

Katanya, pesakit perlu berada dalam keadaan stabil dan tidak memerlukan pemantauan dan rawatan yang rapi di ICU. Mereka juga mampu bernafas sendiri dengan keperluan oksigen minimum serta tekanan darah stabil.

Sementara itu, Pakar Perubatan Pemulihan PPUM Dr Pek Eu Way berkata, rawatan terapi pemulihan amat penting kepada pesakit ICU kerana ia dapat mempercepatkan proses penyembuhan.

Menurut Dr Pek, penyakit kritikal boleh memberi kesan kepada fizikal, mental dan fungsi kognitif.

"Oleh itu, sebaik-baiknya rawatan ini dilakukan lebih awal supaya pesakit dapat mencapai tahap kesihatan yang hampir sama sebelum dimasukkan ke ICU.

"Keadaan pesakit yang terlantar di atas katil dan pergerakan terbatas semasa di ICU menyebabkan mereka mengalami 'post-intensive care syndrome' (PICS).

"PICS adalah sindrom yang boleh memberi kesan kepada fizikal, fungsi kognitif dan psikiatri," katanya.

Kata Dr Pek, tempoh rawatan pemulihan yang perlu dijalani bergantung kepada betapa kritikalnya tahap kesihatan pesakit.

"Sebenarnya kita menggunakan satu rangka kerja daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) iaitu 'International Classification of Functioning, Disability and Health' (ICF).

"Data kajian antarabangsa menunjukkan, 25 hingga 80 peratus pesakit mengalami PICS selepas keluar ICU.

"Selain itu, kira-kira 50 peratus pesakit mengalami gangguan keresahan dan kemurungan," katanya.

Dr Pek berkata, ada kalanya pesakit mengalami 'post-traumatic stress disorder' (PTSD). Ia adalah keadaan kesihatan mental yang 'diganggu' oleh peristiwa menakutkan sama ada mengalami atau menyaksikannya.

Beliau berkata, kira-kira 25 peratus pesakit mengalami masalah kognitif dan ia boleh menjadi lebih teruk seperti penyakit Alzheimer apabila pesakitnya sering lupa, mengalami kesukaran mengira, bekerja dan menjalani aktiviti harian walaupun sudah setahun keluar daripada ICU.

"Ini juga meningkatkan bebanan penjaga apabila 25 hingga 30 peratus penjaga perlu meluangkan masa sehingga 50 jam seminggu untuk membantu pesakit PICS.

"Kajian perubatan antarabangsa mahu 'menghapuskan' tanggapan bahawa orang sakit perlu baring untuk berehat.

"Sedangkan mobilisasi awal kepada pesakit adalah penting kerana ia dapat menguatkan otot dan mengurangkan sindrom PICS. Apabila keadaan sudah stabil, mereka boleh menjalani rawatan terapi pemulihan hingga pulih," katanya.

Dr Pek berkata, rawatan terapi pemulihan dijalankan dengan konsep bekerjasama 'interdisciplinary' dan 'transdisciplinary approach' yang terdiri daripada pakar pemulihan, pakar ICU, jurupulih anggota, jurupulih cara kerja, pegawai pemulihan pertuturan, doktor perubatan psikologi, jururawat ICU dan sokongan ahli keluarga dalam menjalani rawatan terapi pemulihan yang lebih holistik.

"Di samping itu, kajian berkenaan turut mendedahkan bahawa pesakit kronik PICS yang menjalani rawatan terapi pemulihan, mempunyai potensi sembuh lebih besar berbanding tidak melakukan sebarang rawatan pemulihan terapi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 7:00 AM