SERIGALA dirakam di kawasan hutan di timur Finland yang bersempadan dengan Rusia. FOTO AFP
SERIGALA dirakam di kawasan hutan di timur Finland yang bersempadan dengan Rusia. FOTO AFP
Agensi

Helsinki: Kerajaan Finland pada mencadangkan membelanjakan 139 juta euro (kira-kira RM652.5 juta) untuk membina pagar di sepanjang bahagian sempadan negara itu dengan Rusia, memenuhi janji yang dibuat selepas pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, Februari lalu.

Finland, yang memohon keahlian dalam pakatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), mempunyai sejarah peperangan dengan Rusia.

Tetapi sempadan yang dilitupi hutan masih hanya ditandakan dengan papan tanda dan garisan plastik untuk kebanyakan garis sempadan yang sepanjang 1,300 kilometer.

Negara Nordik itu berkata, pada Jun lalu ia akan membina halangan di sepanjang bahagian yang bersempadan dengan Rusia.

Ia sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan terhadap ancaman hibrid seperti potensi kemasukan besar-besaran pencari suaka.

Pihak berkuasa pengawal sempadan negara itu berkata, ia akhirnya menyasarkan untuk membina pagar antara 130 hingga 260 km.

Ia meliputi antara 10 hingga 20 peratus daripada keseluruhan panjang, memfokuskan terutamanya pada titik lintasan sempadan dan kawasan bersebelahan, di tenggara Finland.

Sebelum cadangan perbelanjaan baru-baru ini, Parlimen hanya memperuntukkan enam juta euro untuk projek percubaan bagi tujuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 12:55 PM