JAMBATAN kereta api yang menghubungkan China dan Rusia. FOTO Agensi
JAMBATAN kereta api yang menghubungkan China dan Rusia. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Pembinaan jambatan kereta api pertama yang menghubungkan China dan Rusia siap dibina, semalam.

Jambatan kereta api sepanjang 7.19 kilometer (km) itu dibina hasil usaha sama antara China dan Rusia, lapor media negara China Global Times.

Pembinaannya bermula pada 2014, ia menghubungkan bandar Tongjiang, di timur laut China dan Nizhneleninskoye di timur Rusia.

Ketika pembinaan projek infrastruktur itu, ia menghadapi beberapa masalah, termasuk perbezaan pengukuran atau tolok di kedua-dua negara, selain keadaan musim sejuk yang teruk.

Bagaimanapun, jambatan kereta api ini akan memendekkan laluan antara Heilongjiang, wilayah paling utara China, dan Moscow dengan jarak lebih dari 800 km berbanding dengan sambungan kereta api semasa.

Integrasi lebih lanjut dengan Rusia dapat menyumbang pada revitalisasi timur laut China, yang mana tiga wilayahnya - Heilongjiang, Jilin dan Liaoning - mencatat pertumbuhan ekonomi beberapa tahun terakhir, kata media pemerintah.

China dan Rusia berkongsi sempadan lebih dari 4.000 km yang terpaksa ditutup untuk sebahagian besar pelancong sejak tahun lalu akibat pandemik Covid-19, bagaimanapun pergerakan barangan ekonomi tetap diteruskan.

Sempadan memisahkan dua wilayah yang sangat berbeza secara demografi, ia merangkumi timur jauh Rusia, dengan 6.2 juta penduduk menurut banci 2010, dan timur laut China yang menempatkan lebih daripada 100 juta penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 1:31 PM