JOE Biden. FOTO fail AFP
JOE Biden. FOTO fail AFP
AFP

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan sekatan terbaharu terhadap Rusia akibat 'memulakan' pencerobohan terhadap Ukraine.

Namun, Biden berkata, masih ada masa untuk mengelak peperangan walaupun Presiden Rusia, Vladimir Putin memberi isyarat untuk menghantar tentera melepasi sempadan Rusia.

Majlis Persekutuan Rusia memberikan persetujuan kepada Putin untuk menghantar 'tentera pengaman' ke dua wilayah Ukraine yang kini diiktiraf Moscow sebagai wilayah bebas dan ia berpotensi untuk berlaku ke bahagian lain di Ukraine.

Biden mengumumkan apa yang dianggapnya sebagai 'fasa pertama' sekatan termasuk langkah untuk menyekat pembiayaan Rusia dan menyasarkan institusi kewangan dan 'elit' negara itu.

Namun, AS masih terbuka untuk usaha terakhir diplomasi bagi menyekat pencerobohan berskala besar Rusia.

"Tiada sebarang persoalan bahawa Rusia adalah penceroboh, jadi kami melihat dengan jelas mengenai cabaran yang kami hadapi, " kata Biden itu dalam ucapan dari Rumah Putih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 10:25 AM