Sebahagian ahli keluarga mangsa tragedi MH17 yang hadir ke perbicaraan kes berkenaan. - FOTO AP
Sebahagian ahli keluarga mangsa tragedi MH17 yang hadir ke perbicaraan kes berkenaan. - FOTO AP

Amsterdam: Mahkamah Belanda hari ini mengesahkan penemuan bahawa pesawat penumpang MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Rusia dalam tragedi yang berlaku pada 2014.

Reuters melaporkan, mahkamah itu yang mengendalikan perbicaraan empat suspek insiden berkenaan tanpa kehadiran mereka berkata, peluru berpandu terbabit ditembak dari sebuah padang di timur Ukraine.

"Mahkamah berpandangan MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK yang dilancarkan dari sebuah padang ladang berhampiran Pervomaisk, mengorbankan kesemua 283 penumpang dan 15 kru," kata Hakim Hendrik Steenhuis.

Mahkamah berkata, Rusia mempunyai kawalan menyeluruh ke atas pasukan tentera kumpulan pemisah di timur Ukraine ketika kejadian.

"Sejak pertengahan Mei 2014, Rusia mempunyai apa yang dikatakan kawalan menyeluruh ke atas Republik Rakyat Donetsk," kata Steenhuis merujuk kepada wilayah tempat pesawat itu ditembak jatuh.

Pada 17 Julai 2014, pesawat itu yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh di timur Ukraine sehingga meragut nyawa kesemua 298 penumpang dan anak kapal dari 10 negara berbeza, dengan lebih separuh daripadanya adalah warga Belanda.

Sementara itu, AP melaporkan, hakim berkata beliau akan meneruskan keputusan mengenai isu undang-undang lain dan sama ada suspek didapati bersalah atau tidak dalam perbicaraan nanti.

Ketegangan memuncak dalam kalangan keluarga menjelang perbicaraan.

"Kebenaran adalah perkara yang paling penting," kata Anton Kotte, yang kehilangan anak lelaki, menantu perempuan dan cucunya yang berusia enam tahun apabila MH17 ditembak jatuh.

Beliau berkata, perbicaraan itu adalah hari yang dinanti-nantikan seluruh ahli keluarganya.

Ahli keluarga mangsa tragedi MH17 tiba di Kompleks Kehakiman Schipol. - FOTO AFP
Ahli keluarga mangsa tragedi MH17 tiba di Kompleks Kehakiman Schipol. - FOTO AFP

Robbert van Heijningen, yang kehilangan abang, kakak ipar dan anak saudaranya, menyifatkan tindakan itu sebagai "tindakan kejam" yang tidak boleh dilupakan, tanpa mengira apa juga keputusannya.

Tiada seorang pun daripada suspek hadir untuk perbicaraan yang bermula pada Mac 2020 dan jika mereka disabitkan kesalahan, tidak mungkin mereka akan menjalani sebarang hukuman dalam masa terdekat.

Pendakwa raya telah memohon hukuman penjara seumur hidup untuk keempat-empatnya. Pendakwa raya dan suspek mempunyai dua minggu untuk memfailkan rayuan.

Mahkamah Daerah Hague, yang bersidang di bilik mahkamah keselamatan tinggi di Lapangan Terbang Schiphol, sedang membuat penghakiman terhadap latar belakang pergolakan geopolitik global yang disebabkan oleh pencerobohan penuh Rusia ke atas Ukraine pada Februari dan perang hampir sembilan bulan yang dicetuskannya.

Beratus-ratus ahli keluarga mangsa yang terbunuh hadir di mahkamah untuk mendengar keputusan itu, membawa mereka kembali ke lapangan terbang yang ditinggalkan orang tersayang pada hari MH17 ditembak jatuh.

Di luar mahkamah, kedengaran pesawat berlepas dan mendarat.

Pendakwa raya Belanda berkata pelancar peluru berpandu itu datang dari Briged Peluru Berpandu Anti-Pesawat Ke-53, sebuah unit angkatan tentera Rusia yang berpangkalan di bandar Kursk, Rusia dan dipandu kembali ke sana selepas MH17 ditembak jatuh.

Suspek tidak dituduh menembak peluru berpandu tetapi bekerjasama untuk menunjukkan lokasi di mana ia ditembak.

Mereka dituduh menjatuhkan pesawat dan membunuh semua yang berada di dalamnya.

Defendan paling tua ialah Igor Girkin, bekas kolonel berusia 51 tahun di Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia, atau FSB.

Ketika kejadian itu, beliau adalah menteri pertahanan dan komander angkatan tentera Republik Rakyat Donetsk yang diisytiharkan sendiri - wilayah di mana pesawat itu ditembak jatuh.

Girkin dilaporkan kini terlibat dalam perang Rusia ke atas Ukraine.

Turut dibicarakan ialah orang bawahan Girkin, Sergey Dubinskiy, Oleg Pulatov, dan Leonid Kharchenko, seorang warga Ukraine yang menurut pendakwa raya adalah komander unit tempur pemberontak pro-Rusia dan menerima arahan terus daripada Dubinskiy.

Pulatov adalah satu-satunya suspek yang diwakili peguam bela dalam perbicaraan.

Pasukan pertahanan Pulatov juga berusaha untuk memburukkan bukti dan berhujah dia tidak mendapat perbicaraan yang adil.

Dalam rakaman video yang dimainkan di mahkamah, Pulatov menegaskan dia tidak bersalah dan memberitahu hakim: "Apa yang penting bagi saya ialah kebenaran terbongkar. Adalah penting bagi saya bahawa negara saya tidak dipersalahkan atas tragedi ini."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 10:03 PM