FOTO HIASAN AFP
FOTO HIASAN AFP
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa pandemik Covid-19 lambat lagi berakhir memandangkan Perancis, Jerman dan Brazil merekodkan kes baru tertinggi dalam tempoh 24 jam.

Varian Omicron yang mudah menular kini sudah merebak ke seluruh dunia memaksa kerajaan di beberapa negara melaksanakan sekatan baru selain meningkatkan pemberian dos penggalak.

"Pandemik ini masih belum berakhir," kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Eropah menjadi pusat wabak dengan Jerman merekodkan 100,000 kes dan Perancis melaporkan hampir setengah juta kes dalam tempoh 24 jam.

Beliau turut memberi amaran bahawa mengatakan Omicron sebagai jangkitan ringan adalah salah kerana varian berkenaan yang kini dominan terus mencetuskan peningkatan kes dari Amerika Latin hingga Asia Timur.

"Omicron mungkin kurang menyebabkan sakit teruk secara purata, namun naratif yang mengatakan ia jangkitan ringan adalah tidak tepat," katanya.

Lima juta kes dilaporkan di Eropah pada minggu lalu dan WHO menjangka Omicron akan menjangkiti separuh warga Eropah menjelang Mac, menyebabkan hospital terus dipenuhi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 6:48 PM