ORANG ramai menunggu keputusan ujian saringan bergerak Covid-19 di Paris. Perancis secara drastik mengharamkan kemasukan pelancong dari UK dengan pengecualian warganegaranya bagi mengekang varian Omicron. - Gambar AFP
ORANG ramai menunggu keputusan ujian saringan bergerak Covid-19 di Paris. Perancis secara drastik mengharamkan kemasukan pelancong dari UK dengan pengecualian warganegaranya bagi mengekang varian Omicron. - Gambar AFP
Syah Rul Aswari Abdullah

Varian baharu Covid-19, Omicron pertama kali dilaporkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Afrika Selatan pada 24 November lalu.

Kes pertama yang disahkan makmal dikenal pasti daripada spesimen yang dikumpul pada 9 November. Badan dunia itu kemudian mengkategorikan Omicron sebagai varian yang membimbangkan (VOC) pada 26 November.

Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata semua pihak perlu melindungi diri kerana jangkitan varian Omicron merebak pantas, sekali gus meningkatkan kadar jangkitan virus itu di lebih 80 negara. Sehingga Rabu lalu, kes membabitkan jangkitan Covid-19 varian itu sudah dikenal pasti di 89 negara.

Apa yang membimbangkan, ia sudah dilaporkan menjadi varian dominan di Amerika Syarikat (AS). Ia berdasarkan 73.2 peratus kes baharu minggu lalu, menurut pihak berkuasa kesihatan AS, Isnin, lalu.

Menurut AFP, peningkatan itu selari dengan data yang dikemukakan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS. Omicron sehingga kini menyumbang lebih 90 peratus kes baharu di barat laut dan selatan AS, selain sebahagian barat tengah menurut CDC.

Situasi sama juga dapat dilihat di Eropah apabila Varian Covid-19 Omicron akan menjadi dominan di Eropah bulan depan.

Ketua Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen ketika memberi amaran itu, bagaimanapun berkata, 27 negara EU mempunyai vaksin yang mencukupi untuk memerangi pandemik itu.

Susulan perkembangan ini, beberapa negara anggota Eropah sudah mengumumkan peraturan lebih ketat termasuk terhadap kemasukan pengembara dari luar negara.

Belanda dilihat menjadi negara Eropah yang mendahului usaha itu apabila mengumumkan sekatan pergerakan untuk mengekang penularan varian baharu itu.

Jerman pula memperkenalkan peraturan baharu untuk individu yang tiba dari United Kingdom (UK) dan beberapa negara Eropah yang lain.

Sehingga Isnin lalu, hanya warganegara Jerman, penduduk dan penumpang transit yang dibenarkan memasuki Jerman dari UK. Mereka yang memasuki Jerman perlu menjalani kuarantin selama 14 hari, tanpa mengira status vaksinasi. Beberapa peraturan baharu juga diperkenalkan untuk individu yang tiba dari Denmark, Perancis dan Norway. Individu berkenaan perlu menjalani kuarantin selama lima hari jika tidak divaksin atau pulih daripada virus itu.

Lain pula halnya dengan Austria yang baru menamatkan sekatan pergerakan di seluruh negara. Ia membenarkan kemasukan hanya pengembara yang sudah lengkap divaksin. Selain itu, mereka yang tidak menerima dos penggalak mesti menjalani ujian saringan Covid-19.

Pada masa yang sama, kerajaan Belanda menutup semua bar, kedai bukan keperluan, venue hospitaliti, pawagam dan gimnasium sehingga 14 Januari. Acara sukan akan tetap berlangsung tanpa penonton dan hanya empat tetamu dibenarkan di dalam sebuah rumah ketika sambutan Krismas. Jumlah itu akan dikurangkan kepada dua orang selepas sambutan perayaan berkenaan.

Ireland pula mengehadkan waktu operasi hanya sehingga 8 malam untuk semua pub dan restoran di negara itu.

Sementara itu, Itali pula akan mengadakan mesyuarat khas hujung minggu ini untuk menguruskan fasa semasa epidemik itu dan kebarangkalian peningkatan kemasukan pesakit ke hospital.

Sepanyol dan Belgium pula sedang mempertimbangkan kaedah sesuai selepas menilai situasi semasa penularan Covid-19.

Namun, paling drastik adalah Perancis yang mengharamkan kemasukan pelancong dan pengembara bisnes dari UK, dengan pengecualian kepada warganegara dan penduduknya serta individu yang melakukan perjalanan keperluan.

Melihat perkembangan ini, tiada siapa menyangka negara Barat yang pernah melonggarkan peraturan mengenai Covid-19 kembali menguatkuasakan peraturan lebih ketat. Ada yang mengambil pusingan U dengan melaksanakan semula sekatan pergerakan.

Namun, ia dilihat langkah paling proaktif kerana sehingga kini masih tidak diketahui mengenai keberkesanan vaksin sedia ada dalam mengekang jangkitan varian baharu.

Selain itu, tiada lagi data menunjukkan tahap keseriusan jangkitan yang disebabkan oleh Omicron. Sehingga data itu diperoleh, semua pihak perlu terus berhati-hati.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 6:15 AM