FOTO HIASAN REUTERS
FOTO HIASAN REUTERS
AFP

Geneva: Varian Omicron Covid-19 lebih berbahaya bagi mereka yang belum disuntik vaksin, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

WHO dalam amaran terkini itu berkata, lonjakan kes jangkitan Omicron global menunjukkan varian itu lebih mudah disebarkan berbanding varian Delta yang lebih dominan sebelum ini.

Lebih daripada 15 juta kes dilaporkan kepada WHO minggu lalu dengan berjuta-juta lagi kes tidak direkodkan.

Bagaimanapun, agensi kesihatan PBB itu menggesa semua pihak supaya jangan menyerah kalah kepada varian itu dan ia bukanlah penamat pandemik, seperti mana tanggapan sesetengah pihak.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, walaupun Omicron menyebabkan penyakit yang kurang teruk berbanding Delta, ia kekal sebagai virus berbahaya terutama bagi mereka yang tidak divaksin.

"Kita tidak boleh membenarkan virus ini terus merebak terutama apabila begitu ramai orang di seluruh dunia masih belum divaksinasi.

"Majoriti orang yang dimasukkan ke hospital tidak menerima vaksin," katanya pada satu sidang media.

Tedros menegaskan vaksin dikenal pasti berkesan untuk mencegah kematian akibat Covid-19 dan kesan penyakit yang teruk, namun ia masih tidak dapat menghalang penularan sepenuhnya.

"Lebih banyak penularan bermakna lebih banyak kemasukan ke hospital, lebih banyak kematian, lebih ramai orang tidak bekerja termasuk guru dan pekerja kesihatan.

"Wujud risiko lebih banyak varian lain muncul, yang lebih mudah merebak dan lebih ramai mati daripada kesan jangkitan Omicron," katanya.

Tedros berkata, jumlah kematian di seluruh dunia kini stabil dengan rekod sekitar 50,000 seminggu.

"Belajar untuk hidup dengan virus ini tidak bermakna kita boleh atau harus menerima jumlah kematian ini," katanya.

Tedros mahu setiap negara memastikan sekurang-kurangnya 10 peratus penduduk mereka divaksin menjelang akhir September 2021, 40 peratus menjelang akhir Disember dan 70 peratus menjelang pertengahan 2022.

"Namun, 90 negara masih belum mencapai 40 peratus, dengan 36 daripadanya masih kurang daripada 10 peratus," katanya.

Petugas barisan hadapan WHO, Bruce Aylward berkata, di Afrika lebih 85 peratus orang masih belum menerima walaupun satu dos vaksin.

"Kita tidak mungkin boleh menamatkan fasa akut pandemik melainkan kita menutup jurang yang besar ini.

"Negara yang lebih kaya telah menjadikannya 'tiga kali lebih sukar' untuk negara berpendapatan rendah yang kebuluran dos dengan mengeksport maklumat salah dan bukannya vaksin," katanya.

WHO berkata, Omicron telah dikenal pasti di 149 negara pada 6 Januari lalu dan Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan berkata ini bukan masanya untuk mengisytiharkan Omicron sebagai virus yang 'dialu-alukan' sebagai penamat pandemik.

Ketua Teknikal WHO, Maria Van Kerkhove berkata, sukar untuk meramalkan jalan penyelesaian masa depan dan Omicron tidak mungkin menjadi varian terakhir Covid-19.

"Kami menjangkakan virus ini akan terus berkembang dan menjadi lebih cergas. Kami menjangkakan wujud wabak dalam kalangan individu yang tidak divaksin.

"Virus ini sedang dalam perjalanan untuk menjadi endemik tetapi kita belum sampai ke sana," katanya.

Sementara itu, Tedros berkata wanita hamil tidak berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19, tetapi berisiko lebih tinggi untuk mendapat penyakit yang teruk jika mereka dijangkiti.

Justeru, beliau menggesa wanita hamil mendapatkan akses kepada vaksin dan dimasukkan dalam ujian untuk rawatan serta suntikan baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 5:53 PM