GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noor Mohamad Shakil Hameed

Tatkala kita sedang memberi tumpuan kepada soal pengurusan bencana banjir di seluruh negara jangan sekali-kali alpa dan leka dengan serangan wabak Covid-19, khususnya varian Omicron. Ia penting kerana serangan pandemik di negara kita masih belum berakhir dan varian Omicron pula semakan mengganas di seluruh dunia.

Hakikatnya, kita sedar atau tidak sudah lebih 60 kes varian Omicron dikesan di negara ini dan khuatir jika anggota masyarakat alpa kes baharu varian ini akan terus meningkat dan boleh memudaratkan kembali kehidupan rakyat. Semestinya kita juga tidak mahu pengurusan bencana banjir terganggu pula dengan penularan kes varian ini.

Oleh itu di samping fokus kepada masalah banjir jangan lupa keperluan untuk terus menjaga keselamatan diri dan keluarga dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Untuk rekod, Eropah dilihat sudah menjadi lubuk penularan wabak Covid-19 terutamanya kebanyakan negara sedang bergelut untuk membendung varian Omicron dan Delta. Perancis misalnya merekodkan 179,807 kes baharu dan situasi yang sama turut berlaku di Itali, Greece, Portugal dan England.

Susulan peningkatan yang mendadak kes baharu negara Eropah sudah melaksanakan kembali beberapa sekatan baharu seperti mengharamkan sebarang penganjuran acara luar dan menutup kelab malam serta mewajibkan pekerja bekerja dari rumah.

Arab Saudi juga sudah melaksanakan semula peraturan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di semua kawasan tertutup dan terbuka sebagai langkah baharu membendung varian omicron serta lonjakan kes harian Covid-19 di negara itu.

Varian Omicron juga dilaporkan menjadi varian dominan di Switzerland apabila kira-kira 55 peratus daripada kes di negara itu disebabkan oleh Omicron.

Malah, negara jiran, Singapura juga dilaporkan sudah merekodkan lebih dari 130 kes baharu varian Omicron.

Walaupun berdasarkan kajian, Omicron kurang berbahaya berbanding varian Delta kerana 30 hingga 70 peratus pesakit yang dijangkiti varian Omicron tidak perlu ke hospital untuk mendapatkan rawatan, namun kita tidak boleh alpa dan tidak mempedulikannya.

Tambahan pula Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri sudah mengeluarkan amaran bahawa varian ini mengundang risiko paling tinggi dan berupaya mencetuskan tsunami pandemik sekali gus meruntuhkan sistem penjagaan kesihatan kerana ia lebih menular.

Buktinya, angka kes baharu Covid-19 dikatakan meningkat lebih 11 peratus di seluruh dunia pada minggu ketiga Disember sehingga memaksa kerajaan dari China sehingga ke Jerman dan Perancis sukar mencari keseimbangan antara mengenakan sekatan antivirus serta teruskan pembukaan sektor ekonomi dan kehidupan masyarakat.

Jujurnya kes Covid-19 di negara kita masih membimbangkan kerana terus merekodkan lebih daripada dua ribu kes sehari dan angka keseluruhan jangkitan Covid-19 di negara kita sudah melebihi 2.7 juta individu.

Walaupun lebih daripada 97.6 peratus populasi dewasa negara ini sudah lengkap menerima suntikan vaksin di samping pemberian dos penggalak juga sedang rancak dilaksanakan, namun kebimbangan anggota masyarakat tetap memuncak.

Ironinya, rakyat tidak mahu negara juga terpaksa melaksanakan semula pelbagai sekatan seperti penutupan sektor ekonomi, sosial mahupun penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Cukuplah apa yang dilalui hampir dua tahun ini dan jujurnya rakyat dan negara sudah tidak mampu lagi untuk mengharungi satu lagi tempoh PKP.

Jadi mahu tidak mahu anggota masyarakat perlu terus bangkit melawan pandemik ini supaya ia tidak terus mengancam kehidupan kita semua.

Justeru, semuanya terserah kepada kita sama ada bersedia untuk terus mematuhi SOP dan melindungi diri dan keluarga atau alpa sehingga kembali mudarat.

Harus diingat musibah banjir bukan alasan untuk kita alpa dan leka dengan virus yang masih ada bersama-sama dengan kita.

Misalnya, baik ketika di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mahupun ketika proses pembersihan rumah dan premis masing-masing sila pastikan kita tetap memberi perhatian kepada aspek pematuhan SOP.

Sudah tentu kita tidak mahu PPS, misalnya menjadi pusat penularan pandemik sehingga menambahkan lagi keperitan kehidupan mangsa banjir.

Kembimbangan tentang isu ini ada asasnya kerana sehingga 28 Disember yang lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 434 mangsa banjir disahkan positif Covid-19 dengan 14 jangkitan direkodkan di PPS.

Di samping itu, kita juga berharap supaya sukarelawan yang memberikan pelbagai bantuan kepada mangsa banjir terutamanya yang terlibat dalam proses pembersihan dan pengagihan barangan keperluan akan turut mengutamakan pematuhan SOP.

Ia penting kerana sukarelawan ini datang dari seluruh pelosok negara dan kita khuatir penularan wabak boleh berlaku dengan mudah jika kita alpa.

Jadi tidak kira kita berada di mana sekalipun pastikan sentiasa mengambil berat dan beringat keperluan untuk mematuhi SOP seperti pemakaian pelitup muka dan amalan penjarakan fizikal di samping kerap melakukan ujian saringan kendiri.

Hal ini sangat penting kerana sejak kebelakangan ini kelihatan ramai yang sudah mula alpa dan tidak begitu menitikberatkan pematuhan SOP tersebut.

Sedarlah tindakan tidak bertanggungjawab seperti itu bukan saja akan membahayakan diri sendiri, malah boleh merisikokan keselamatan nyawa orang lain juga.

Justeru, pada ketika kita sedang bergelut dengan musibah banjir dan berhadapan dengan proses pemulihan rakyat dan negara daripada serangan wabak Covid-19, jangan sesekali alpa dan leka bahawa penularan varian Omicron dan Delta boleh mencetuskan tsunami pandemik yang memudaratkan semua pihak.


Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 6:00 AM