MONUMEN Olimpik di Taman Marin Odaiba. FOTO EPA.
MONUMEN Olimpik di Taman Marin Odaiba. FOTO EPA.
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran pada Jumaat bahawa tahun kedua penularan Covid-19 adalah lebih buruk, dengan Jepun melanjutkan perintah darurat di tengah-tengah desakan supaya Sukan Olimpik Tokyo dibatalkan.

"Kita berada pada landasan tahun kedua pandemik ini yang jauh lebih buruk berbanding tahun pertama," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Jepun mengenakan perintah berkurung di tiga wilayah sehingga hujung bulan ini, iaitu 10 minggu sebelum bermulanya Olimpik.

Bagaimanapun terdapat petisyen yang ditandatangani lebih 350,000 orang yang mendesak temasya itu dibatalkan.

Sekurang-kurangnya 3,346,813 penduduk dunia terkorban akibat Covid-19 sejak virus itu dikesan lewat 2019, menurut data dikumpul AFP.

Sementara itu, India yang mengalami lonjakan kes dan kematian mula memberikan vaksin Sputnik V kepada rakyatnya, menjadikan ia negara luar pertama menggunakan vaksin keluaran Rusia itu.

Kumpulan pertama vaksin berkenaan yang berjumlah 150,000 dos tiba pada 1 Mei lalu dan penghantaran kedua dijangka beberapa hari lagi.

Pengeluar produk perubatan tempatan negara itu turut menandatangani perjanjian untuk mengeluarkan Sputnik V dengan sasaran pengeluaran lebih 850 juta dos setahun.

India bergelut dengan peningkatan kes harian Covid-19 dengan lebih 260,000 rakyatnya meninggal dunia akibat wabak itu.

Di Eropah, Perdana Menteri Britain Boris Johnson memberi amaran kewujudan varian B1.617.2 yang dipercayai punca ledakan kes di India, boleh melewatkan pembukaan semula ekonomi dan aktiviti masyarakat.

"Varian baharu ini mengakibatkan gangguan serius terhadap pemulihan negara," kata Johnson.

Jerman pula kembali meletakkan United Kingdom dalam senarai 'negara berbahaya' sekali gus memerlukan pengembara menjalani pemeriksaan lebih ketat namun, tidak perlu kuarantin.

Greece memulakan musim pelancongannya pada Jumaat dengan harapan dapat mengembalikan semula kemeriahan musim panas tahun lalu.

Turut melancarkan kempen sama minggu ini adalah Perancis dan Sepanyol.

Manakala di Amerika Syarikat, keputusan menarik balik peraturan pemakaian pelitup muka bagi penerima vaksin menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penduduk.

Rata-ratanya mempersoalkan pelaksanaannya dan bagaimana mengenal pasti sama ada individu itu sudah divaksin sepenuhnya.

WHO memaklumkan pemakaian pelitup muka perlu di kawasan penularan wabak, walaupun seseorang itu sudah melengkapkan dos vaksin Covid-19.

"Vaksinasi sahaja bukan jaminan dapat melawan jangkitan atau mengekang penyebaran virus kepada orang lain," kata Ketua Saintis WHO Soumya Swaminathan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 10:31 AM