KERANDA mendiang Ratu Elizabeth tiba di Westminster Abbey. FOTO Reuters
KERANDA mendiang Ratu Elizabeth tiba di Westminster Abbey. FOTO Reuters
Agensi

London: Selepas 10 hari berkabung, mendiang Ratu Elizabeth II akan disemadikan mengikut istiadat pemakaman negara, hari ini.

Cuti diisytiharkan di seluruh United Kingdom (UK) dengan banyak perniagaan dan sekolah ditutup supaya rakyat dapat menonton upacara secara langsung.

Time melaporkan upacara pemakaman Ratu Elizabeth II bermula dari Westminster Abbey diikuti perarakan di jalan-jalan di sekitar London, sebelum Ratu Elizabeth II dikebumikan di St George's Chapel di perkarangan Istana Windsor.

Jutaan orang di seluruh dunia kini mengikuti liputan upacara di Westminster Abbey, tempat Elizabeth berkahwin dengan Putera Philip, dan ditabalkan sebagai ratu.

Uniknya, ia menjadi upacara pengebumian pertama Raja Britain yang diadakan di Westminster Abbey sejak abad ke-18.

KERANDA mendiang Ratu Elizabeth dibawa masuk ke Westminster Abbey. FOTO AFP
KERANDA mendiang Ratu Elizabeth dibawa masuk ke Westminster Abbey. FOTO AFP

Westminster Abbey boleh memuatkan kira-kira 2,000 orang dan kira-kira 500 pemimpin dan delegasi luar negara, lapor BBC dan Sky News.

Sementara itu, AFP melaporkan, ratusan kerabat diraja dari Eropah dan pemimpin luar negara hadir memberikan penghormatan terakhir.

Ia sekali gus menjadi tempat berkumpul diplomatik berskala besar dalam tempoh beberapa dekad.

Turut hadir, ahli keluarga ratu, pembesar istana, tokoh masyarakat dan ahli politik UK serta wakil dari seluruh negara-negara anggota Komanwel.

Raja Harald V dari Norway, Putera Albert II dari Monaco, Raja Willem-Alexander (Belanda), Raja Carl XVI Gustaf (Sweden ) dan Raja Philippe (Belgium), antara kerabat diraja yang hadir memberikan penghormatan terakhir.

Ratu Margrethe II dari Denmark hadir selepas membatalkan beberapa siri ulang tahun pemerintahannya yang ke-50.

Raja Sepanyol, Felipe VI turut hadir bersama isterinya, Permaisuri Letizia, serta bapanya, bekas Raja Juan Carlos I.

Raja Charles III dan Puteri Anne. FOTO Reuters
Raja Charles III dan Puteri Anne. FOTO Reuters

Maharaja Jepun Naruhito dan Maharani Masako turut hadir sekali gus menandakan lawatan ke luar negara pertama mereka sejak menaiki takhta pada tahun 2019. - Agensi

Lawatan itu menandakan pelepasan daripada tradisi Jepun yang jarang melihat maharaja menghadiri upacara pengebumian.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan isteri, Jill serta Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Brazil Jair Bolsonaro antara pemimpin luar yang hadir.

Isteri Presiden Ukraine, Olena Zelenska, turut hadir mewakili suaminya, Volodymyr Zelensky.

Dalam pada itu, China pula dilaporkan menghantar naib presidennya, Wang Qishan sebagai wakil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 6:32 PM