GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Vienna: Seorang anak di Austria tergamak menyorokkan mayat ibunya lebih setahun demi mengaut pencen wanita itu.

Lelaki berusia 66 tahun itu 'membekukan' jasad ibunya yang dikatakan meninggal dunia akibat sakit tua sebelum menyimpannya di sebuah bilik bawah tanah.

Rahsia lelaki itu terbongkar selepas polis menggeledah dan menemui jasad wanita berusia 89 tahun itu di rumah mereka di Innsbruck, wilayah Tyrol.

Wanita itu dipercayai meninggal dunia pada Jun tahun lalu.

Sejak itu, lelaki itu mengaut wang pencen kira-kira 50,000 Euro (RM244,358) bagi pihak ibunya.

Ketua Unit Penipuan Keselamatan Sosial Polis, Helmut Gufler berkata, suspek mengaku membalut dan 'membekukan' mayat ibunya.

Beliau berkata, lelaki itu menyembunyikan kematian ibunya daripada pihak berkuasa Austria bagi membolehkannya menikmati faedah pencen wanita berkenaan.

"Badan mayat disejukkan dengan bungkusan ais yang ditukar secara berkala, manakala cecair badan diserap dengan kain pembalut.

"Ada ketikanya ketika buntu idea, dia turut meletakkan pasir penyerap najis kucing yang menyebabkan lama-kelamaan jasad ibunya terawet secara semula jadi," katanya kepada ORF Tirol seperti dipetik Al-Jazeera.

Ketika disoal siasat, suspek yang tidak mempunyai pendapatan memberitahu tidak mahu 'melepaskan' wang pencen ibunya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 6:30 AM