PEKERJA kesihatan bercakap dengan orang ramai yang menunggu untuk mendapatkan suntikan vaksin Covdi-19 di Melbourne, Australia. FOTO EPA
PEKERJA kesihatan bercakap dengan orang ramai yang menunggu untuk mendapatkan suntikan vaksin Covdi-19 di Melbourne, Australia. FOTO EPA
AFP

Paris: Varian Delta mengundang risiko berganda untuk dimasukkan ke hospital berbanding varian Alpha di seluruh dunia.

Penyelidik berkata, daripada 43,000 kes yang dinilai untuk perbandingan kedua-dua jenis varian, 1.8 peratus adalah pesakit yang sudah lengkap divaksin.

Tiga perempat daripadanya tidak divaksin, manakala 24 peratus yang lain hanya menerima satu dos, lapor AFP.

"Oleh itu, hasil kajian ini memberitahu kami mengenai risiko kemasukan ke hospital bagi mereka yang tidak divaksinasi atau menerima sebahagian daripada vaksinasi," kata Anne Presanis, seorang Ahli Statistik Kanan di Unit Biostatistik MRC Universiti Cambridge.

Analisis itu membabitkan data penjagaan kesihatan berdasarkan 43,338 kes Covid-19 di England antara 29 Mac hingga 23 Mei tahun ini, termasuk status vaksinasi, rawatan kecemasan, kemasukan ke hospital dan maklumat pesakit lain.

Semua sampel virus menjalani penjujukan keseluruhan genom, kaedah paling tepat untuk mengesahkan varian mana yang menyebabkan jangkitan.

Kira-kira seorang daripada setiap 50 pesakit dimasukkan ke hospital dalam masa 14 hari daripada keputusan positif ujian Covid-19.

Selepas mengambil kira faktor yang diketahui mempengaruhi kerentanan terhadap penyakit yang teruk termasuk usia, etnik, dan status vaksinasi, penyelidik mendapati risiko dimasukkan ke hospital lebih daripada dua kali ganda, dengan varian Delta.

Beberapa kajian menunjukkan vaksinasi penuh mencegah jangkitan dengan gejala dan kemasukan ke hospital untuk kedua-dua varian Alpha dan Delta.

"Kami sudah tahu bahawa vaksinasi memberikan perlindungan yang sangat baik terhadap Delta," kata Gavin Dabrera, pakar perunding epidemiologi di Kesihatan Awam England.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 10:05 AM