GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memantau varian baharu Covid-19 dikenali sebagai Mu, yang pertama kali dikenal pasti di Colombia, pada Januari.

Mu, secara saintifiknya dikenali sebagai B.1.621, dikategorikan sebagai varian mempunyai kepentingan (VOI), menurut badan dunia itu menerusi buletin pandemik mingguannya.

Menurut WHO, varian itu mempunyai mutasi yang menunjukkan risiko kekebalan terhadap vaksin dan kajian lanjut diperlukan untuk memahaminya.

"Varian Mu mempunyai mutasi yang menunjukkan kemungkinan untuk mengatasi sistem imun," lapor buletin berkenaan.

Terdapat kebimbangan meluas mengenai kewujudan varian-varian baharu yang bermutasi ketika jumlah jangkitan Covid-19 di peringkat global kembali meningkat dengan penularan varian Delta.

Peningkatan kes itu terutama untuk mereka yang masih belum divaksin dan di wilayah di mana pihak berkuasanya sudah melonggarkan peraturan kawalan berhubung Covid-19.

Semua virus termasuk SARS-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19, bermutasi menerusi tempoh masa dan kebanyakan mutasi itu mempunyai sedikit kesan dan hampir tiada kesan kepada virus berkenaan.

Namun, sebilangan mutasi mempunyai kesan terhadap virus itu dan mempengaruhinya dalam cara ia berjangkit, tahap keseriusan penyakit, kekebalan terhadap vaksin, ubat dan kawalan lain.

Setakat ini, WHO mengklasifikasikan empat varian membimbangkan (VOC) untuk Covid-19 iaitu varian Alpha, yang dikesan di 193 negara dan varian Delta, dikesan di 170 negara.

Lima lagi varian termasuk Mu kini dipantau.

Selepas dikesan di Colombia, Mu dilaporkan di negara Amerika Selatan dan Eropah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 1:44 PM