Foto hiasan
Foto hiasan
AFP

The Hague: Badan pengawas ubat-ubatan Kesatuan Eropah (EU) semalam, mengatakan dua dos suntikan pengeluar vaksin yang diluluskan penting dalam memberikan perlindungan maksimum terhadap varian Delta.

"Bukti awal mencadangkan kedua-dua vaksin Covid-19 adalah dua dos yang diperlukan bagi memberi perlindungan mencukupi terhadap varian Delta.

"Mematuhi saranan aturan vaksinasi adalah penting bagi memperoleh manfaat tahap perlindungan tertinggi," kata Agensi Perubatan Eropah (EMA).

Menyebutnya sebagai varian membimbangkan (VOC), EMA menjelaskan jujukan Delta yang pertama dikesan di India menular dengan pantas di Eropah dan secara seriusnya merencatkan usaha yang mengawal penularan pandemik.

Dalam kenyataan sama, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah menjangkakan varian berkenaan akan menyebabkan 90 peratus jangkitan kes Covid-19 pada penghujung Ogos ini.

"Ini memperlihatkan betapa pentingnya negara-negara mempercepat program vaksinasi, termasuk melengkapkan pemberian dos kedua seperti disarankan selain berusaha menghapuskan jurang dan peluang untuk merebaknya varian itu secepat mungkin," kata EMA.

Agensi itu berkata, terdapat faktor saintifik yang baik menyarankan untuk mencampurkan jenis vaksin berbeza antara inokulasi pertama dan kedua dengan ia didapati selamat dan berkesan terhadap Covid-19.

Strategi vaksinasi itu membawa kebarangkalian bahawa populasi akan dilindungi dengan lebih cepat dan adalah lebih baik menggunakan semua vaksin yang sudah sedia ada.

Setakat ini, EMA sudah meluluskan tiga jenis vaksin bagi dua dos lengkap untuk digunakan di Eropah iaitu Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech, Moderna's Spikevax dan Vaxzevria buatan AstraZeneca.

Vaksin keempat oleh Johnson & Johnson hanya memerlukan satu suntikan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 11:21 AM