FOTO HIASAN AFP
FOTO HIASAN AFP
BERNAMA

Seoul: Firma perubatan Korea Selatan, Bioneer Corp, mengumumkan bahawa ia berjaya menghasilkan dua kit baru bagi ujian Covid-19 yang berupaya mengesan varian baru Omicron dan dapat membezakan antara varian Omicron dengan Delta.

Ia adalah kali pertama sebuah firma perubatan tempatan berhasil mencipta kit yang berupaya mengenal pasti mutasi unik pada varian Omicron dan Delta, versi Covid-19 yang dominan dan paling mudah berjangkit, menurut laporan agensi berita Yonhap.

Walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa Omicron berpotensi menimbulkan risiko global yang sangat tinggi , kebanyakan kit ujian di pasaran sekarang ini tidak dapat membezakan antara varian Omicron dengan Delta.

Kemajuan ini yang dicapai dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA), diumumkan selepas beberapa kajian membayangkan varian Omicron mungkin kurang memudaratkan berbanding varian Delta.

Menurut Bioneer, kit ciptaannya itu boleh membantu doktor dan kakitangan hospital untuk mengasingkan pesakit Covid-19 yang berpotensi sakit teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 7:28 PM